Info Putra Heights 2016

Personaliti: 'Ada hikmah dihantar ke penjara'

Bantu banduan muda tempuh peluang kedua sebagai kerja amal

Pastinya ramai yang mengenali bekas Ketua Pengarah Penjara, Tan Sri Zaman Khan, 70, dan mungkin juga ada yang akan berkerut dahi selepas mengetahui beliau juga menggunakan nama Hassan Rahim.
Mana tidaknya, sepanjang kerjaya dalam bidang kepolisan banyak kes besar berjaya diselesaikan. Ketegasan dan kecekapannya bukan saja diakui oleh pihak berkuasa tetapi digeruni kumpulan penjenayah dan samseng.

"Jangan tuduh polis tak buat kerja, cuba ke mahkamah setiap hari pasti ada kes baru yang dihadapkan ke muka pengadilan" - Tan Sri Zaman Khan
Malah, menurut wartawan senior yang pernah bekerjasama dengannya, jika Zaman Khan ada di mana-mana lokasi kejadian jenayah, pasti ada berita besar dan tentunya boleh 'dijual' untuk muka depan akhbar.

"Di kampung, saya dikenali sebagai Hassan Mek Che Brahim. Bapa saya peniaga kain berasal dari Bhatar, Pakistan yang datang mencari nafkah di Sungai Golok, Thailand dan berkahwin dengan wanita Pasir Mas, Kelantan.

"Datuk saudara saya sebelah ibu mendaftarkan nama saya sebagai Mohamad Zaman Khan Rahim," katanya yang pernah mengunjungi kampung asal bapanya di Pakistan beberapa kali untuk menyambung silaturahim.

Berasal dari keluarga miskin, Zaman Khan sangat bersyukur dengan kurniaan Ilahi dan mahu menyumbang jasa kepada masyarakat sebagai tanda berterima kasih.
Katanya, keinsafan timbul apabila beliau, pegawai tinggi polis dipinjamkan berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Penjara, walaupun pada awal beliau menganggap penghantarannya ke Jabatan Penjara seolah-olah tidak menghargai sumbangannya. Bagaimanapun, selepas dua tiga bulan di jabatan baru itu, barulah beliau sedar ada hikmah di sebaliknya.

"Saya dapat membantu banduan terutama golongan muda menempuh peluang kedua. Tugas polis bukan tertakluk kepada membanteras jenayah tetapi membabitkan kerja sukarela dan amal," katanya.

Setia terhadap kerja

Kesetiaan seseorang terhadap tempat kerja, katanya, adalah antara resipi kejayaan dalam bidang yang diceburi. Selepas bersara pada 1997, beliau aktif dengan kegiatan masyarakat termasuk Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Majlis Aids Malaysia.

Tidak dinafikan, Zaman Khan adalah antara pegawai kanan polis yang paling rapat dengan media dan hubungan baiknya turut membuahkan hasil.

"Dalam perhubungan dua hala ini, pemberita faham, kadangkala mereka datang dengan sumber yang kita pun tidak tahu dari mana mereka dapat. Ramai wartawan tahu bertolak-ansur walaupun mahukan berita 'scoop' tetapi kita tidak mahu pendedahan merosakkan siasatan," katanya yang mempelajari kaedah komunikasi ketika menjalani latihan di Pusat Latihan US Aids, Washington pada 1968.

Pengalaman paling besar

Menyingkap pengalaman paling memberi kesan sepanjang kerjanya, katanya, peristiwa tunjuk perasaan terbesar pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1974 yang membabitkan lebih 5,000 pelajar yang tidak puas hati dengan pengurusan institut itu benar-benar memberi kesan kepadanya.

"Pelajar mahu merampas kampus itu, saya ketika itu ambil alih tugas sebagai Ketua Polis negeri kerana ketika itu Ketua Polis Selangor dan Timbalannya tidak sihat. Pada hari ketiga satu pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) masuk dan pelajar berundur.

"Ketika itu, saya bersama dua lagi pegawai masuk dan dikelilingi pelajar. Ada pelajar cuba menumbuk saya tetapi hanya kena topi saya. Apabila topi jatuh ke tanah, ada seorang pelajar lain mengambilnya dan memberikan semula kepada saya.

"Dari situ saya dapat petunjuk yang bukan semua yang mahu menentang dan keras hati. Saya gunakan cara rundingan dan mengarahkan supaya kumpulan yang mahu ditahan berkumpul di bangunan baru yang tiada bekalan asas termasuk air dan kantin," katanya yang bilangan pelajar semakin berkurangan dan kebanyakannya lari keluar kampus melalui pagar yang dipotong dan pihaknya hanya membiarkan mereka melarikan diri.

Ketika itu, Pengarah ITM, Datuk Lokman Musa tidak setuju tindakan polis membiarkan pelajar lari.

"Saya hanya kata biarkan. Akhirnya tiga hari mereka menyerah, kerana kumpulan itu bertambah kecil dan semakin lemah kerana tidak makan," katanya.

Menara AIA ditawan

Beliau yang juga pengasas Unit Tindakan Khas (UTK), berkata pada hari terakhir berkhidmat sebagai Timbalan Komander Operasi UTK sebelum ditukarkan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pada 1975, Menara AIA ditawan Tentera Merah Jepun.

"Masa itu saya sibuk mengucapkan selamat tinggal kepada semua kakitangan orang kerana hari terakhir bertugas di sana. Disebabkan kes itu, saya terpaksa berada di UTK beberapa hari lagi," katanya.

Kes peneroka tanah haram di Klang, Hamid Tuah turut menjadi antara kes yang tidak dapat dilupakannya.

"Kerajaan menghalau peneroka Teluk Gong dan mereka membantah dengan membawa senjata seperti parang untuk merusuh. Hasil rundingan, mereka setuju berpindah, kami bantu mereka pindah gunakan trak polis angkut keluarga dan barang pindah ke penempatan depan Balai Polis Pandamaran.

"Mungkin saya ditakdirkan bertemu dengan kes menarik," katanya sambil mengimbas kembali kes rusuhan banduan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang.

Ketika rusuhan itu, beliau memegang jawatan Ketua Polis Pulau Pinang dan sebaik mendapat tahu berhubung kejadian itu, dia bergegas ke pulau berkenaan.

"Pada masa itu pegawai penjara berkumpul di bangunan tepi laut dan saya bagi amaran kepada banduan jangan mara. Saya tembak loceng besi dan bunyinya sangat kuat sehingga menyebabkan banduan senyap.

"Tiba-tiba seorang anggota kumpulan gangster yang dikenali sebagai Fatty bangun dan bercakap dalam dialog Cina kepada semua banduan. Mereka kemudian menyerah diri. Ketika soal siasat saya tanya Fatty apa dia cerita kepada rakan sepenjaranya, beliau hanya memberitahu supaya banduan lain tidak main-main dengan Zaman Khan," katanya.

Sekarang, katanya, banyak juga kes besar yang diselesaikan. Malah, maklumat mudah diperoleh terutama dengan dunia tanpa sempadan.

"Jangan tuduh polis tidak buat kerja, cuba ke mahkamah setiap hari pasti ada kes baru yang dihadapkan ke muka pengadilan," katanya yang sering menghantar surat penghargaan kepada mana-mana pihak memberikan maklumat sehingga tertumpasnya penjenayah ketika beliau masih berkhidmat.

Zaman Khan kini banyak menghabiskan masa dengan berkebun dan menetapkan setiap Sabtu sebagai hari berkumpul sesama keluarga.

PROFIL: Tan Sri Zaman Khan Rahim

Lahir: 1942
Asal: Pasir Mas, Kelantan
Pendidikan:
- Sekolah Melayu Tok Uban, Pasir Mas
- Kolej Sultan Ismail
- Victoria Institution

Pengalaman
- Ketua Polis Daerah Grik, Klang, Butterworth, Georgetown dan Petaling Jaya.
- Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor
- Ketua Polis Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur
- Timbalan Pengarah Operasi Unit Tindakan Khas (Pengasas UTK), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam, Ketua Pengarah Penjara (dipinjamkan)

Antara kes besar diselesai
- Penawanan Menara AIA oleh Tentera Merah Jepun pada 1975
- Pembunuh kejam, perompak dan pengedar dadah paling dikehendaki, Kalimuthu Pakirisamy atau Bentong Kali, ditembak mati di Medan Damansara pada 1993.
- Pembunuhan ADUN Batu Talam, Pahang, Datuk Mohd Mazlan Idris oleh pasangan bomoh Mona Fandey, suami, Mohd Affendy Abdul Rahman serta pembantu, Juraimi Husin.
- Rompakan di Bank of Tokyo 1985
- Doktor dan juruteknik makmal dijadikan tebusan oleh banduan di Penjara Pudu pada 1986
0 Komentar untuk "Personaliti: 'Ada hikmah dihantar ke penjara'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top