Info Putra Heights 2016

Persoalan Agama: Amalan disertai niat ikhlas tepis sifat riak

Soalan:

Allah tidak akan menerima sesuatu amalan sekiranya tidak ikhlas. Bagaimana kita boleh mengetahui seseorang itu ikhlas atau tidak? Persoalannya, saya ingin membuat korban seekor lembu tetapi saya bimbang amalan korban saya ini tidak diterima. Mohon ustaz bagi nasihat, bagaimana hendak memastikan amalan saya itu diterima Allah.
ZAKARIA,Melaka.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat "Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan atau disertai dengan niat dan sesungguhnya ke atas setiap seseorang itu (dibalas) berdasarkan niat mereka."

Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 5 (yang bermaksud): "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar".

Ikhlas atau tidak seseorang itu tiada siapa yang dapat mengukurnya kerana ikhlas adalah rahsia Allah SWT. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui keikhlasan hamba-Nya. Apa yang penting selaku hamba, kita hendaklah menunaikan perintah Allah dalam keadaan hati mengharapkan rahmat dan kasih sayang agar Allah SWT menerima amalan yang kita lakukan.
Rasa mengharap

Apabila kita hendak melakukan sesuatu amalan, sebaiknya disertakan dengan dua sifat iaitu sifat raja' dan sifat khauf. Sifat raja' bererti harap. Justeru, kita hendaklah sentiasa mengharapkan kepada belas kasihan dan rahmat daripada Allah SWT agar kita tidak mudah untuk berputus asa dengan Allah SWT dan malas beramal kerana merasakan amalannya apakah diterima Allah SWT atau tidak. Mereka yang tidak ada sifat raja' boleh membawa kepada bersangka buruk kepada Allah SWT. Dia tidak yakin Allah itu Maha Merahmati lagi Maha Pemurah dan amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya.

Di samping sifat raja', seseorang itu perlu ada juga sifat khauf. Khauf ialah perasaan bimbang, takut, cemas sekiranya amalannya tidak diterima Allah. Tanpa ada sifat khauf, seseorang itu akan mudah senang hati bila ia beramal sedikit sudah yakin ia bakal masuk syurga dan merasakan Allah SWT menerima setiap amalannya. Kemungkinan amalannya itu dipenuhi dengan sifat ujub, riak dan seumpamanya. Mereka ini akan tertipu dengan banyaknya amalan yang dilakukan.

Justeru, sifat khauf dan raja' hendaklah seimbang agar ia stabil dan hilang sifat buruk sangka dengan Allah SWT. Selain itu perlu juga seseorang itu berasakan dirinya hamba. Justeru setiap amalan yang dilakukannya adalah kerana ia berasakan dirinya hamba yang mesti taat dan patuh pada tuannya iaitu Allah SWT, Tuhan pencipta dan pemelihara sekalian alam. Soal ikhlas atau tidak, kita serahkan kepada Allah SWT untuk menilainya.

Perbetulkan niat

Apa yang penting kita berusaha sedaya upaya untuk membersihkan niat dan hati setiap kali kita hendak melakukan sesuatu amal ibadat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat "Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan atau disertai dengan niat dan sesungguhnya ke atas setiap seseorang itu (dibalas) berdasarkan niat mereka."

Sekiranya kita dapat melakukan sesuatu amal ibadat dengan kita menjaga niat, Insya-Allah amalan itu akan diterima Allah SWT. Mungkin saja daripada penilaian manusia orang yang melakukan korban lembu lebih banyak pahala berbanding orang yang korban kambing sekiranya melihat kepada saiz. Namun dari segi penilaian Allah mungkin berbeza. Orang yang korban kambing dengan keadaan ikhlas adalah lebih baik berbanding orang yang korban lembu tetapi disertai dengan riak. Justeru, kita hendaklah menjaga niat kita daripada perkara yang boleh mencacatkan amal ibadat kita. Wallahualam.
0 Komentar untuk "Persoalan Agama: Amalan disertai niat ikhlas tepis sifat riak "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top