Info Putra Heights 2016

Penerbit tiada ilmu buat filem Islam

FILEM dari Barat dikagumi kerana menggunakan teknologi serta kesan khas paling maju dalam setiap pembikinan filem mereka.
Namun hakikatnya mereka mahukan filem itu dapat menyampaikan identiti budaya Barat yang gemar memaparkan elemen pergaulan tanpa batasan, seks bebas, arak, dadah, samseng, pembunuhan kejam, mementingkan diri sendiri dan memuja harta.
Itulah kesan daripada globalisasi. Filem berkenaan antara propaganda halus mereka bagi mempengaruhi masyarakat dunia terutama umat Islam.

Jelas, filem Barat memaparkan unsur negatif yang mampu merubah kesan ideologi dan nilai budaya masyarakat Timur. Budaya itu perlu dikaji dengan mendalam supaya kesan negatifnya tidak terus memberi kesan kepada masyarakat terutamanya remaja dan kanak-kanak.
 
Tidak mustahil, semua itu akan menyebabkan identiti dan kekuatan umat Islam semakin lemah. Filem Barat juga sering menonjolkan imej Islam sebagai pengganas sehingga ramai 'termakan' dengan propaganda jahat itu.

Justeru, bagi menangkis serangan Barat secara berterusan itu, umat Islam perlu melakukan sesuatu supaya imej Islam kembali diperbetulkan, bukan sebagai pengganas sebaliknya penerang seluruh alam.

Filem adalah medium paling efektif dalam usaha mendakwah kepada bukan Islam kerana ia lebih dekat kepada masyarakat dan dapat dipersembahkan secara realiti.

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, antara punca keruntuhan akhlak dan moral khususnya remaja hari ini adalah pengaruh negatif filem Barat.

"Filem mereka banyak menyajikan unsur yang bertentangan dengan nilai keislaman dan adat ketimuran, contohnya memaparkan adegan ranjang seperti bercium, berpelukan, perhubungan sulit, gay, lesbian dan bertukar-tukar pasangan tidur.

"Filem Barat juga memaparkan aksi ganas seperti gusti, pergaduhan dan pembunuhan kejam. Jika selalu menonton filem seumpama itu, kita akan jadi 'penagih' dan agresif.

"Malah, jika tiada adegan ganas dan seks, kita tidak akan seronok atau puas. Inilah kejayaan pengeluar filem Barat," katanya.

Beliau berkata, apabila filem itu dipertontonkan, golongan remaja akan meniru gaya dan aksi negatif pelakon pujaan mereka.

"Natijahnya, wujudlah budaya bertindik telinga kiri bagi lelaki, memakai seluar yang sengaja dikoyakkan di bahagian lutut, seks bebas, lari dari rumah, ketagihan arak, rogol, dadah, sumbang mahram dan kes pembuangan bayi.

"Ini mencetuskan kemelut jati diri bagi remaja yang mencari identiti diri seterusnya terbabit dalam gejala hedonisme.

"Filem Barat amat berbahaya kerana boleh menjadi 'modern day idolatry' dan ancaman kepada pegangan agama jika tidak dikawal dan disekat.

"Masyarakat bagaikan terperangkap dengan teori Barat yang mengatakan jika hendak maju, gaya dan budaya hidup Barat mesti diikuti.

Jelas, gejala sosial dan keruntuhan akhlak semakin gawat hari demi hari berikutan kebanjiran filem Hollywood yang tidak terkawal.

"Malah, kewujudan Internet memudahkan golongan remaja memuat turun filem yang bertentangan dengan syariat Islam dan budaya masyarakat timur," katanya.

Menurutnya, jika masyarakat disajikan dengan filem berunsur lucah dan ganas secara berterusan, generasi yang membesar nanti akan rosak akhlak.

"Justeru, bagi mengimbangi lambakan filem Barat yang negatif, penerbit Islam perlu mengeluarkan filem yang memberi identiti dan cara hidup Islam.

"Kita masih 'kedekut' mengeluarkan filem berunsur dakwah sebaliknya lebih gemar dengan genre filem seram, percintaan dan kelakar yang tidak membina generasi madani.

"Kekurangan ini disebabkan dua faktor utama iaitu umat Islam masih tidak mengoptimumkan penggunaan filem sebagai alat berdakwah dan kedua, kebanyakan filem tempatan diterbitkan gagal memaparkan peranan golongan ustaz dan pendakwah.

"Mereka hanya sekadar diletakkan sebagai 'penghalau' hantu dan jin, pembaca doa, imam solat dan menangkap orang berkhalwat.

"Penerbit dan pengeluar filem patut menerapkan nilai dakwah dan cara hidup Islam. Kita boleh mencontohi industri filem dakwah di Indonesia seperti filem 'Kiamat Sudah Dekat' yang mengisahkan pertembungan budaya dua golongan, Barat dan Timur.

"Umat Islam perlu lebih bijak dan kreatif menggunakan pelbagai saluran media secara profesional sebagai alat menyebarkan dakwah Islam," katanya.

Menurutnya, tidak patut membiarkan pihak Barat bersikap prejudis terhadap Islam sehingga mendominasi saluran media terutamanya industri perfileman.

"Umat Islam boleh menggunakan apa saja saluran media yang boleh memberi kejayaan dalam usaha dakwah. Penggunaan filem atau program televisyen sebagai strategi dakwah untuk mendekati khalayak menjadi satu keperluan," katanya.

Beliau berkata, filem menjadi persaingan kepada bahan dakwah bercetak kerana sifatnya berbentuk persembahan dilihat lebih menarik berbanding tulisan.

"Namun, bagaimanakah umat Islam boleh merebut peluang berdakwah melalui filem atau program televisyen ini?

"Mubaligh Kristian sudah lama menggunakan filem atau program televisyen sebagai alat penyebaran dakyah mereka.

"Jika umat Islam tidak bersedia memanfaatkan filem, mereka mungkin terperangkap di tengah-tengah kebanjiran filem atau program televisyen Barat yang terus berkembang.

"Justeru, umat Islam tidak ada jalan lain melainkan berusaha mengoptimumkan penggunaan filem atau program televisyen untuk terus berdakwah.

"Jika dulu umat Islam berdakwah melalui syarahan, kuliah agama dan bahan bercetak saja, kini mereka perlu meningkatkan penggunaan teknologi filem untuk bersaing dengan filem Barat," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud, "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh bijaksana dan nasihat pengajaran yang baik-baik dan bertukar fikiranlah kamu dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan siapa yang terpimpin." (Surah al-Nahl ayat 125).

Katanya, Dusuki Ahmad dalam tulisannya bertajuk Cabaran Dakwah Dalam Memanfaatkan Industri Drama' menunjukkan jumlah penonton meningkat serta kesedaran masyarakat kepada agama membuka peluang dakwah melalui filem atau drama.

"Maka, penulis skrip dan penerbit filem perlu menghasilkan karya yang membawa nilai dakwah secara kreatif. Unsur kreatif dalam penghasilan mesej dakwah melalui filem penting bagi mengekalkan minat penonton.

"Pendakwah perlu bertindak sebagai penggerak dalam bidang industri penyiaran, sama ada sebagai penulis skrip, pengarah atau penerbit filem.

"Pendakwah perlu berdamping dengan golongan karyawan supaya dapat memberi pandangan mereka mengenai prinsip kesenian menurut Islam.

"Mereka perlu mengambil tanggungjawab berdakwah melalui filem sebelum peranan itu diambil pihak yang kurang jelas kefahamannya terhadap agama.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan kegiatan dakwah dalam era moden ini, perancang dan pelaksana dakwah mestilah memastikan bahan yang disampaikan bermutu dan meliputi isi ajaran Islam serta sesuai dengan kumpulan sasarannya.

"Tahap maklumat yang disampaikan mesti sesuai mengambil kira keperluan mereka yang belum beragama Islam atau baru mempelajari Islam bagi menghapuskan kekeliruan.

"Di samping memberi penjelasan mengenai syariat Islam, aspek akidah atau tauhid sebagai terasnya tidak boleh dipandang remeh.

"Selain televisyen, medium lain seperti laman sosial, blog, web, majalah dan surat khabar juga mampu berperanan mendekatkan masyarakat dengan Islam.

"Ajaran Islam yang disampaikan boleh mengubah tingkah laku dan akhlak masyarakat ke arah lebih baik," katanya.

Beliau berkata, pembangunan negara yang mapan perlu bermula dengan pembangunan jiwa ummah yang mantap.

"Sebagai langkah perintis, didikan melalui unsur yang digemari oleh golongan sasar contohnya filem animasi.

"Kita masih kekurangan dan memerlukan lebih banyak animasi Islamik bagi mewarnai dunia hiburan golongan kanak-kanak supaya mereka terdidik dengan ajaran Islam.

"Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi itu malah ia cabang dakwah berkesan bagi menambat hati golongan muda dan kanak-kanak.

"Itulah elemen yang patut disuntik dalam kerangka pembangunan jiwa ummah bagi golongan 'teknodaei' yang tercari-cari peluang dan ruang yang mudah untuk mendekati masyarakat," katanya.
0 Komentar untuk "Penerbit tiada ilmu buat filem Islam"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top