Info Putra Heights 2016

Pemain Kelantan di janji lot rumah

MISI memburu gelaran treble terus mencengkam semangat para pemain The Red Warriors apabila mereka dijanjikan imbuhan cukup lumayan jika berjaya membawa pulang piala ketiga, Piala Malaysia, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan, setiap pemain The Red Warriors bakal dianugerahkan satu lot rumah yang dianggarkan bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000.
Menurutnya, ganjaran yang bakal diberikan bertindak sebagai motivasi dalam usaha Kelantan mencipta sejarah baharu bola sepak negeri itu untuk merangkul tiga piala dalam satu musim.
 
"Peluang untuk merangkul tiga kejuaraan semusim barangkali tidak selalu datang, mungkin sekali dalam 100 tahun.
"Kadang-kadang kita menang satu piala tetapi kali ini adalah peluang untuk kita menguasai semua kejuaraan yang ada dalam bola sepak negara.
"Justeru, KAFA bersetuju untuk memberikan para pemain ganjaran yang mereka boleh kenang sampai bila-bila.
"Ia melibatkan peruntukan bernilai hampir RM2 juta," katanya ketika ditemui semalam.
Bagaimanapun tambahnya, lokasi lot-lot rumah berkenaan, konsep dan pembahagiannya akan ditentukan kelak oleh pihak pengurusan selepas mereka berjaya menjalankan misi tersebut.
 
Katanya, ganjaran kini bukan lagi dalam bentuk wang kerana para pemain sudah mendapat banyak insentif daripada segi wang ringgit dan pihak pengurusan mahu memberikan sesuatu yang lebih bernilai sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan.
"Apa yang kita fikirkan adalah untuk kebaikan para pemain kerana ramai pemain yang belum memiliki rumah, keluarga mereka belum memiliki rumah dan ada yang masih menyewa. Saya fikir ini juga baik untuk pemain-pemain muda terutamanya untuk memiliki aset.
"Saya juga suka untuk menasihati pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada pemain supaya merujuk kepada KAFA agar pengurusannya menjadi lebih baik dan teratur," ujarnya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Annuar juga turut menyampaikan imbuhan bernilai RM125,000 kepada semua pemain Kelantan selepas mereka berjaya layak ke perlawanan akhir menewaskan Selangor pada saingan separuh akhir Piala Malaysia lalu.
Sebelum ini, para pemain Kelantan sudah menerima insentif bernilai RM75,000 selepas mereka berjaya menewaskan Felda United pada saingan suku akhir Piala Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diberikan kepada RM200,000.
"Saya mahu tengok para pemain menyertai perlawanan akhir tanpa sebarang halangan dan gangguan serta mahu mereka fokus kepada permainan," jelasnya
0 Komentar untuk "Pemain Kelantan di janji lot rumah"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top