Info Putra Heights 2016

PC jadi tablet

SAMSUNG memberi definisi baru untuk segmen komputer peribadi (PC) apabila menghasilkan dua model yang mengubah cara kita berinteraksi dengannya melalui pengenalan model PC pintar terbaru, ATIV Smart PC dan ATIV Smart PC Pro.
Kedua-dua model terbabit memperlihatkan rekaan yang unik dan dilengkapi sistem operasi Windows 8 baru dikeluarkan Microsoft bagi meningkatkan produktiviti dan ciri mudah alih.

Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran Notebook, Penyelesaian Perniagaan Teknologi Maklumat (IT) Samsung Electronics Malaysia (SME) Sdn Bhd, Liu Kung Peng, memaklumkan PC terbaru yang menggabungkan penggunaan laptop serta skrin sentuh pada satu platform.
"Kalau dulu, cara menggunakan laptop sangat terhad, buka monitor dan tutup itu saja.

"Kini dengan dua model baru Samsung, anda boleh tanggalkan monitor dari papan kekunci dan ia berubah menjadi tablet serta merta," katanya ketika ditemui Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Segmen PC baru ini jelas unik dengan menyerlahkan penggunaan skrin sentuh secara optimum berbanding tetikus yang didapati pada laptop biasa di pasaran.
"Ia seakan revolusi perkomputeran apabila siri Samsung ATIV Smart PC menggabungkan kuasa pemprosesan PC dan kemudahan peranti tablet yang membolehkan keupayaan luar biasa secara mudah alih," katanya.

Berdasarkan pengenalan sistem operasi (OS) Windows 8, Samsung menggabungkan inovasi terkini dan dinanti-nantikan dalam kategori terbaru peranti perkomputeran yang secara tidak langsung meningkatkan prestasi pemprosesan. Dilengkapi papan kekunci boleh tanggal, sistem terbabit membolehkan pengguna untuk mudah bertukar dari notebook ke peranti tablet.
Malah, ia turut dilengkapi S-Pen yang sama pada tablet Galaxy Note, mampu memenuhi permintaan pereka profesional, membolehkan mereka untuk mendokumentasikan inspirasi mereka dengan serta-merta.
0 Komentar untuk "PC jadi tablet"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top