Info Putra Heights 2016

Pandu Uji Toyota Trueno GT-APEX (AE86) : Mudah dikawal

RAMAI mengetahui dan mengikuti animasi atau komik bersiri Jepun, Initial-D mengenai seorang anak muda dikenali Takumi Fujiwara yang membantu bapanya menghantar tauhu setiap pagi dengan memandu Toyota Trueno GT-APEX (AE86).
Aksi menarik Takumi memandu kenderaan itu melonjakkan kemasyuran AE86 dalam dunia realiti terutama sukan permotoran drift.
   
Selepas lebih 20 tahun berlalu, legasi 86 kembali menyengat dengan jelmaan model terbaru yang tampil lebih menarik melalui Toyota 86.

Model terbaru itu turut diadun dua lagi model sport Toyota iaitu Sports 800 dan 2000GT.

Menariknya, model ini apabila ia dibangunkan hasil kerjasama dua pengeluar syarikat automotif antara Toyota dengan Subaru (satu divisyen Fuji Heavy Industries, FHI) yang mahir menghasilkan kenderaan sedan sport berprestasi tinggi.

Bagi mencari keistimewaannya, penulis tidak perlu menunggu lama untuk memandu model berkenaan di jalan raya, baru-baru ini.

Walaupun hanya sehari memandunya, penulis manfaatkan masa yang singkat itu untuk 'bermesra' bagi menguji kenderaan yang dinobatkan sebagai legenda ini.

Sebaik menghidupkan enjinnya, bunyi garau daripada ekzos berkembarnya ternyata membuatkan penulis teruja bahawa enjin Boxer hasil kerjasama dengan Subaru mempunyai keunikannya tersendiri.

Kuasa pecutan daripada enjin empat silinder bersesaran 1,988 cc itu memberi tindak balas cepat untuk meluncur laju selepas penulis menekan pedal minyaknya.

Kenderaan ini terasa ringan dan lancar ketika menekan pedal minyak secara agresif selain membuatkan penulis seperti berada dalam jentera perlumbaan.

Enjinnya yang tidak dibantu dengan sistem turbo ini menyalurkan sehingga 200 PS dan ia sudah cukup memberi kepuasan pemanduan untuk memecut jarum pada panel meter melebihi kelajuan tiga angka.

Walaupun penulis tidak sempat untuk menguji kelajuan maksimumnya, model ini dikatakan mampu memecut sehingga 210 kilometer sejam (km/j) dan mencatat 8.2 saat antara tahap pegun hingga 100 km/j.

Jentera ini juga tidak memberi sebarang masalah ketika berada di selekoh kerana penulis cukup yakin untuk mengendalikannya di situasi berkenaan.

Malah, penulis berani untuk menekan pedal minyaknya selepas menukar kepada gear lebih rendah ketika di selekoh kerana ia memberi cengkaman dan kestabilan yang mantap.

Kestabilan itu berpunca penggunaan suspensi MacPherson di hadapan manakala Wishbone berkembar di belakang selain dipadankan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Stereng Kuasa Elektrik serta 'Torsen LSD' membuatkan jentera ini mudah dikawal.

Sementara itu, ruang kabinnya membuatkan penulis seolah-olah berada dalam kokpit jentera perlumbaan sebaik duduk atas kerusi ala 'bucket'.

Kerusi itu membuatkan penulis berasa rendah kerana kedudukan sedikit dalam yang bertujuan mengelakkan badan pemandu menggelongsor ketika di selekoh.

Kombinasi sterengnya dan tempat duduknya turut memudahkan penulis mengendalikannya selain memberi ketepatan memasuki selekoh dengan mudah.

Sesuai sebagai kenderaan sport, papan pemuka dan sistem audio dan butang penyaman udara juga tampak kemas serta ringkas selain mudah dicapai pemandu.

Model ini turut tidak berkompromi dengan tahap keselamatan kerana pemandu dan penumpang dilindungi tujuh beg udara.

Ia juga dipasang dengan pelbagai sistem keselamatan kenderaan terkini termasuklah ABS pada keempat-empat roda, Kuasa-Brek Elektronik Pengagihan (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Kawalan Tarikan (TRC).



SPESIFIKASI TOYOTA 86:

ENJIN: bersesaran 1,998 cc Boxer empat silinder, 16 injap DOHC dengan VVT
KUASA MAKSIMUM: 200 PS pada 7,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 205 Nm antara 6,400 hingga 6,600 rpm
TRANSMISI: automatik enam kelajuan
CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, ABS, EBD, BA dan VSC
Harga: RM249,000 atas jalan termasuk insurans.
1 Komentar untuk "Pandu Uji Toyota Trueno GT-APEX (AE86) : Mudah dikawal"

woww....cepat kalau nak sampai kl ni..hehehe

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top