Info Putra Heights 2016

Nissan Almera

JIKA satu ketika dahulu rakyat negara ini begitu meminati dan teruja dengan kehadiran Nissan Sunny 130Y, nostalgia itu dikembalikan oleh pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menerusi model Almera.
Sudah boleh ditempah dan dilihat secara dekat di bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara, Almera diberi tanggungjawab menjadi model pilihan pengguna Malaysia selain sedan segmen B jenama Jepun lain seperti Honda City dan Toyota Vios.
Memang betul, itu bukan tugas yang mudah. Tetapi, jika kena strategi dan tawarannya, tidak mustahil Almera mampu menggugat. Apatah lagi Almera kini didatangkan dengan pelbagai ciri yang biasanya ada pada model sedan lebih mahal.
Misalnya, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry), paparan meter Multi-information Display (MID) iluminasi sendiri (self-illuminated), kawalan suhu automatik dengan paparan digital LCD, butang penghidup enjin Start/Stop serta banyak lagi.
Sedan mampu Nissan sebelum ini ditawarkan menerusi model Sentra dan Latio. Walaupun Almera diperkenalkan, ETCM mengakui bahawa pihaknya masih mengeluarkan Sentra, tetapi pastinya dalam volum yang lebih rendah. Pengeluaran model yang sudah berada di pasaran selama 12 tahun itu hanya akan diberhentikan sepenuhnya jika Almera mampu memainkan peranan sama seperti Sentra.
Harus tahu bahawa Almera ialah sedan global paling laris Nissan. Ia mula menjenguk pasaran China pada tahun 2010 dengan nama Sunny. Sementara di pasaran Amerika Syarikat (AS) pula, pengguna di sana mengenalinya sebagai Versa.
Sebagai sebuah kereta global, Almera hadir dengan pelbagai varian berbeza mengikut keunikan pasaran yang dimasukinya. Sebagai contoh, Almera di Thailand menggunakan enjin tiga silinder bersesaran 1.2 liter, sesuai dengan insentif 'kereta eco' yang diperkenalkan oleh kerajaan Thailand. Di China pula, enjin Almera dipadankan dengan kotak gear CVT.
Bagi pasaran Malaysia, ETCM mengambil keputusan untuk memperkenalkan Almera dengan enjin bersesaran 1.5 liter. Enjin HR15DE itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.
Kotak gear automatik baharu
Ia bukan transmisi automatik yang lama, tetapi dibangunkan khas untuk Almera dengan banyak penambahbaikan. Transmisi itu memiliki pengubah daya kilas (torque converter) ultra nipis, kurang komponen, bentangan gear yang disusun semula serta kawalan terus solenoid lebih linear.
 
Hasilnya, transmisi tersebut adalah 11 peratus lebih kompak, 32 peratus kurang geseran dan 15 peratus lebih ringan iaitu cuma 58 kilogram (kg) berbanding transmisi sekarang (68kg). Malah penggunaan minyak juga mampu dijimatkan kepada 14.9 km bagi setiap liter petrol.
Konsep rekaan menjadikan Almera sebuah sedan entry level yang istimewa. Sedan itu direka agar memiliki pakej yang efisien, mengoptimumkan ruang dalaman dan meminimumkan kawasan mekanikal.
ETCM memang bersungguh untuk mencipta kesedaran orang ramai terhadap kehadiran Almera. Buktinya, buat pertama kali sekumpulan media diberi peluang secara eksklusif untuk melihat sendiri proses pembuatan Almera di kilang milik Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Serendah Selangor.
Tidak pernah dibuat sebelum ini, TCMA turut membenarkan media memandu uji Almera di litar ujiannya. Walaupun pandu uji itu hanya melibatkan perjalanan sejauh 1.5km dan kurang 20 minit, ia cukup untuk memberi persepsi awal bagaimana potensi sebuah Almera apabila dipandu di atas pelbagai bentuk permukaan jalan raya.
Pandu uji itu dimulakan dengan pemandu membuat pusingan nombor 8 sebanyak dua kali untuk menguji maklum balas sterengnya. Kemudian, sistem suspensi Almera pula diuji di atas pemukaan trek yang sememangnya direka mengikut standard dan spesifikasi Nissan Motor Co. Ltd. Jepun.
 
Saya boleh katakan bahawa suspensi yang 15 peratus lebih panjang berbanding suspensi pada model Latio mampu menyerap segala ketidaksempurnaan jalan raya itu dengan baik.
Laluan lurus membolehkan ujian pecutan dibuat. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan keras, bunyi ngauman enjin jelas kedengaran dari dalam kabin.
Respon enjinnya bagaimanapun boleh dianggap bagus, cuma tipikal kotak gear automatik konvensional, ia memerlukan sedikit masa untuk membolehkan kedudukan gear ditukar. Namun, penukaran gearnya masih lancar dan memuaskan.
Apa yang paling saya perasan adalah ruang kaki tempat duduk belakang. Memang luas. Anda perlu duduk sendiri untuk mempercayainya. Nissan mendakwa ruang kaki itu adalah yang terbaik dalam kelasnya (636mm).
Sebagai mana yang diuar-uarkan sebelum ini, Almera akan dipasang dalam negara (CKD). Keputusan untuk memasang Almera di kilang TCMA dibuat kerana Nissan belajar daripada bencana banjir besar yang melanda Thailand, selain tsunami dan gempa bumi di Jepun pada Mac 2011. Kedua-dua bencana alam itu nyata memberi impak besar kepada pengeluar kenderaan dari Jepun.
Lagi pun, apabila dipasang dalam negara, ETCM boleh menghasilkan Almera yang benar-benar menepati citarasa dan kehendak pengguna tempatan.
Kepada yang berminat, Almera dijangka dijual mulai suku keempat tahun ini pada harga bermula RM70,000 hingga RM85,000 seunit. Ia ditawarkan dalam tiga gred berbeza iaitu E, V dan VL.
E merupakan gred paling asas dan anda boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik. Seperti biasa, apa yang ada padanya juga terdiri daripada ciri-ciri asas seperti kunci dengan penggera kecemasan, rim bersaiz 15 inci bersama penutup roda dan satu beg udara. Ya, anda tidak salah baca. Cuma ada satu beg udara.
 
ETCM memberi alasan varian itu hanya memerlukan satu beg udara berikutan kerangkanya yang cukup tegar, sekali gus cukup untuk menahan impak pelanggan pada bahagian hadapan dan sisi. Lagi pun, langkah itu dapat mengurangkan lagi harganya.
Varian V pula memiliki dua beg udara, lampu kabus, kemasan krom di dalam kabin, rim aloi bersaiz 15 inci dan paparan meter MID iluminasi sendiri. VL menjadi varian tertinggi dengan penambahan ciri termasuklah sistem kunci pintar, butang Start/Stop, pendingin hawa automatik dengan paparan LCD serta banyak lagi.
0 Komentar untuk "Nissan Almera"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top