Info Putra Heights 2016

Maut tercekik anggur

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas tercekik anggur ketika makan buah itu di kediamannya di Kondominium Raya Ria, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Tahseem Shahriar Mohammad yang berusia dua tahun lima bulan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan makan buah anggur itu bersama ibunya yang juga warga Bangladesh selepas menikmati makan malam.
"Ibunya turut makan buah anggur dan mengupas kulit sebelum menyuap ke mulut mangsa. Namun, ketika ibunya leka mengupas kulit anggur itu, mangsa tiba-tiba mencapai segenggam anggur sebelum memasukkannya dalam mulut sekali gus.

"Tindakan itu menyebabkan dia tercekik dan mengalami kesukaran bernafas," katanya ketika ditemui di pekarangan HRPB, semalam.

Menurutnya, menyedari kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit segera membawa mangsa ke HRPB, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Bapa mangsa yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, enggan ditemu bual wartawan berikutan terlalu sedih dengan kejadian menimpa anaknya.

Difahamkan, mayat kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke negara asalnya di Bangladesh untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut
0 Komentar untuk "Maut tercekik anggur"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top