Info Putra Heights 2016

MACA tawar program anti rasuah

Malaysia bakal menjadi pusat kecemerlangan anti rasuah antarabangsa menerusi program peringkat Sarjana yang ditawarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini mulai 9 Disember depan.

Program selama dua tahun itu bukan saja ditawarkan kepada golongan profesional anti rasuah dan pihak berkuasa tempatan malah terbuka kepada peserta dari luar negara termasuk pengamal undang-undang seperti hakim.
Bagi memastikan program dilaksana dan dirancang secara teliti, akademi melantik enam pakar dalam pelbagai bidang khususnya yang berpengalaman dalam usaha memerangi rasuah peringkat global untuk memberi nasihat kepada akademi itu.

Ia dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Malaysia dipilih IAACA

Lima lagi ahli yang dilantik, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dimitri Vlassis.

Setiausaha Agung Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), Dr Ye Feng; Pengerusi Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA), Martin Kreutner; bekas Timbalan Pesuruhjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Li dan perunding antarabangsa, Dr Chris Saville.
Sehubungan itu, Abu Kassim mewakili SPRM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan IACA diwakili Kreutner.

Abu Kassim berkata, Malaysia satu-satunya negara yang dipilih IACA untuk mengendalikan satu daripada tujuh modul yang diperkenalkan selain Vienna, Austria.

Terdahulu, Abu Kassim mewakili SPRM menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) bagi mewujud kerjasama dalam mencegah dan membanteras rasuah yang diwakili Pesuruhjaya Profesor Pakdee Pothisiri.
0 Komentar untuk "MACA tawar program anti rasuah"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top