Info Putra Heights 2016

Lulus ubah suai rumah sehari

KUALA LUMPUR: Permohonan kelulusan mengubah suai rumah sekitar bandar raya ini diproses selama sehari berbanding seminggu sebelum ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, ini berikutan pihaknya memperkenalkan inisiatif baru yang membolehkan permohonan bagi kerja ubah suai rumah dikemukakan, dibincangkan dan diluluskan di 11 pejabat cawangan DBKL.

"Sebelum ini orang ramai perlu ke ibu pejabat DBKL untuk berbuat demikian. Tetapi, kini mereka boleh melakukannya di pejabat cawangan yang berhampiran rumah masing-masing.
"Ia akan memudahkan urusan orang ramai kerana tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas, berhadapan kesukaran mencari parkir dan tidak perlu membayar parkir yang tinggi untuk ke ibu pejabat.

"Selain itu, di peringkat DBKL pula, tempoh permohonan dan kelulusan itu boleh dipendekkan kerana permohonan dipecahkan mengikut kawasan.

"Misalnya, jika di ibu pejabat DBKL sehingga 60 permohonan pengubahsuaian rumah diterima setiap minggu, maka jumlah itu boleh dikurangkan kepada 20 permohonan apabila ia diagihkan di pejabat cawangan," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan kelulusan Ubah Suai Rumah Kediaman Untuk Permohonan B1 dan B2, di sini, semalam.
Katanya, mesyuarat akan dilakukan di tiga lokasi mengikut zon iaitu Pejabat Cawangan Setiawangsa yang mengendalikan zon utara meliputi kawasan Parlimen Kepong, Batu dan Wangsa Maju, Pejabat Cawangan Segambut (zon tengah meliputi kawasan Bukit Bintang dan Lembah Bintang) dan Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak (zon selatan meliputi Cheras, Titiwangsa dan Seputeh).

"Bagaimanapun, tempoh kelulusan itu hanya berjalan lancar sekiranya arkitek, pelukis pelan dan jurutera mematuhi garis panduan ditetapkan DBKL," katanya.
0 Komentar untuk "Lulus ubah suai rumah sehari"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top