Info Putra Heights 2016

Kontraktor palsu tipu RM2 juta

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya sebagai kontraktor kini menjadi buruan polis serta lebih 10 pemilik rumah di sekitar ibu negara selepas disyaki menipu dalam projek pengubahsuaian bangunan membabitkan kerugian lebih RM2 juta sejak awal tahun lalu.
Suspek mudah memperdayakan mangsa kerana menjalankan urusan seperti kontraktor tulen dengan mengemukakan sebut harga serta resit bayaran menggunakan alamat sebuah syarikat pereka dalaman di Selayang dekat sini.
Bagaimanapun, apa yang menyebabkan para pelanggannya sesal tidak sudah ialah suspek menghilangkan diri sebaik sahaja mendapat bayaran dan dalam kes tertentu, hanya menyiapkan sebahagian projek sebelum lesap.
 
Dia dipercayai bergiat aktif di sekitar Sentul, Sri Petaling, Kepong, Segambut dan Balakong.
 
Seorang mangsa, Chai Chiew Ming, 43, mendakwa kerugian lebih RM260,000 apabila lelaki itu menghilangkan diri selepas menyiapkan separuh sahaja daripada kerja pengubahsuaian rumah dua tingkat miliknya di Sri Petaling, di sini pada Mei lalu.
Perunding perniagaan itu pada sidang akhbar di sini semalam memberitahu, selepas gagal mengesan suspek dan mendapati pejabat lelaki itu di Selayang sebenarnya disewa syarikat lain, Chiew Ming membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini.
Seperti mangsa yang lain, Chiew Ming mendapatkan khidmat suspek menerusi orang tengah yang dikenali sebagai Khor.
 
Peniaga barang lusuh, Wan Kok Heng, 31, pula mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila mengupah suspek untuk mengubahsuai rumah teres milik isterinya di Sentul Jaya 3 di sini pada April lalu.
 
Kok Heng hanya menyedari ditipu selepas suspek lesap dan projek pengubahsuaian rumah itu terbengkalai.
Akibatnya, dia terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit lagi untuk mengupah kontraktor lain menyiapkan projek tersebut.
0 Komentar untuk "Kontraktor palsu tipu RM2 juta "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top