Info Putra Heights 2016

Khutbah Jumaat: Rakyat perlu bersyukur kemakmuran ekonomi

Perbelanjaan secara berhemah pastikan negara terus membangun

Membina sebuah negara berada dalam kemakmuran, keampunan dan perlindungan Allah SWT, memerlukan seorang pemimpin yang dapat mengurus khazanah harta negara sebaik mungkin. Berdasarkan syariat Islam, harta adalah hak mutlak Allah SWT dan anugerah daripada-Nya.
Manusia perlu mensyukuri anugerah ini kerana tidak semua manusia mendapat kepercayaan daripada Allah SWT untuk memikul amanah dan tanggungjawab menjaga harta. Falsafah kenegaraan Islam mengutamakan prinsip maqasid al-syariah supaya setiap rakyat mendapat hak yang sama rata.

"Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kepada pemerintah"
Firman Allah SWT: "Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu." (Surah al-Hasyr, ayat 7)

Ayat ini menjelaskan bagaimana pengiktirafan Allah SWT terhadap dasar yang dilakukan Rasulullah SAW dalam peristiwa perang al-Fai' bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Ansar dan Muhajirin.

Malah banyak lagi peristiwa lain yang menunjukkan Rasulullah SAW memberi ruang dan peluang kepada pelbagai kelompok rakyat supaya mendapat hak sama rata.

Tanggungjawab pemerintah
Bagi memastikan harta diagih secara adil dan saksama maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengurus serta memastikan setiap harta itu dapat memberi manfaat kepada rakyat demi keselesaan serta kesejahteraan.

Allah SWT berfirman: "Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah sebahagian dari harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu); mereka tetap beroleh pahala yang besar." (Surah al-Hadid, ayat 7)

Kesungguhan dan komitmen pemerintah untuk rakyat serta negara supaya sentiasa maju terpelihara hendaklah dijadikan matlamat utama kerana negara yang makmur dirahmati itu nescaya Allah SWT akan sentiasa mengampuninya.

Menurut pandangan beberapa ulama, negara dikatakan baik ialah negara yang sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah SWT daripada sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran.

Kedua, sentiasa dilimpahi kurnia rezeki oleh Allah SWT di mana kurniaan itu dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama.

Ketiga, negara sentiasa berasa dalam keadaan aman, damai dan suasana penuh harmoni, hasil kerjasama antara pemerintah dengan rakyat kerana masing-masing memikul tanggungjawab menjaga, membangun serta memakmurkan negara selari dengan ajaran Islam.

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun!" (Surah Saba', ayat 15)

Bajet 2013 yang telah dibentangkan bertemakan Memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati, berjumlah RM251.6 bilion, bukti kerajaan telah mengambil kira pandangan rakyat kerana sebahagian besar inti patinya adalah cadangan dan pandangan rakyat.

Hayati semangat muafakat

Kerajaan menyusun dan mengurus harta rakyat berdasarkan semangat Islam yang berpandukan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.

Amalan berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah SWT di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, menindas, mengambil hak rakyat, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara menzalimi serta merugikan pihak tertentu.

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengurus harta secara bijak dan berhemah. Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kepada pemerintah.

Sifat boros dan membazir adalah ciri-ciri kekufuran hamba kepada Allah SWT. Kita perlu mengawal keinginan nafsu supaya tidak boros. Tindakan mengawal nafsu ini boleh dikategorikan sebagai jihad paling utama kerana kemewahan boleh menjadikan seseorang itu lalai dan menjadi kufur nikmat.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
0 Komentar untuk "Khutbah Jumaat: Rakyat perlu bersyukur kemakmuran ekonomi "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top