Info Putra Heights 2016

Kelantan akan guna bom budu ke atas ATM

KELANTAN kini berada di landasan yang cukup baik untuk merangkul piala ketiga dalam misi mereka mencipta sejarah sukan bola sepak negeri itu, sekali gus melengkapkan gelaran trebel musim ini.
Skuad yang mendapat jolokan The Red Warriors itu akan turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam malam esok.
 
Bagi ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, pasukannya kini berada dalam keadaan bersedia tanpa sebarang kecederaan mahupun masalah fizikal dan mental kecuali penggantungan dua tonggak utamanya, Norfarhan Muhammad dan Mohammed Ghaddar.
Menurutnya, semua pemainnya kini bekerja keras dan mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan dalam sesi latihan bagi mencuri tempat dalam kesebelasan utama namun, beliau hanya mampu untuk memilih 11 pemain sahaja.
"Semuanya memeningkan saya tetapi saya gembira apabila mereka memperlihatkan kesungguhan untuk beraksi. Sudah tentu semua pemain mahu dipilih untuk beraksi pada pentas perlawanan akhir ini dan ia begitu mengujakan saya.
"Bagi dua pemain yang akan menggantikan Norfarhan dan Mohammed Ghaddar, salah seorang daripadanya mungkin Piya (Badri Radzi) tetapi seorang lagi masih belum ada dalam kepala saya.
"Bergantung kepada ilham yang saya akan dapat ataupun persembahan pemain yang memikat hati saya nanti. Mungkin anda boleh tanya saya pukul 12 tengah hari Sabtu ini," katanya berseloroh.
 
Mengulas lanjut mengenai ketiadaan dua tonggak utamanya, Hodak tanpa berselindung menjelaskan, beliau agak terasa kehilangan Norfarhan yang menjadi penjaring terbanyak Kelantan dengan lima gol pada kempen Piala Malaysia musim ini berbanding Mohammed Ghaddar.
"Dalam dua pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini, kita seri dan menang. Ghaddar hanya beraksi 45 minit sahaja dan kita berjaya bermain tanpa sebarang kekurangan. Cuma kehilangan Norfarhan agak dirasai kerana dia penjaring terbanyak kita pada kempen Piala Malaysia," ujarnya.
Hodak bagaimanapun sedar, keyakinan yang melampau hanya akan memakan diri sambil menyedari bahawa kekuatan ATM tidak boleh dipandang remeh terutama ketika pasukan tersebut kini sedang ghairah untuk memburu kejuaraan bagi menambah reputasi mereka yang akan beraksi pada Liga Super musim depan.
"Saya selalu beritahu, ATM mempunyai jurulatih yang hebat, skuad yang mantap, lima pemain kebangsaan dan dua pemain import yang menakjubkan. Anda boleh lihat dalam saingan peringkat kumpulan, selain ATM kita berada dalam 'kumpulan maut' bersama Kedah dan Terengganu.
"Seperti juga Terengganu dan Selangor, mereka adalah pasukan yang hebat, memiliki pemain yang mempunyai teknik yang baik tetapi akhirnya ATM dan Kelantan beraksi pada perlawanan akhir. Peluang 50-50 buat masa ini dan kita mengharapkan sokongan peminat membantu menaikkan semangat," jelasnya.
Ditanya mengenai ketajaman gandingan Marlon Alex James dan Hairuddin Omar, Hodak tidak menafikan yang kedua-dua mereka bakal menjadi pemusnah sekiranya dibiarkan bebas bergerak di kawasan kotak penalti.
 
"Marlon menjaringkan banyak gol, sudah tentu dia memberikan masalah dan Hairuddin merupakan pemain yang saya minati. Ketika bersama UPB-MyTeam lagi saya cuba mendapatkannya tetapi dia sering mempunyai kontrak dengan pasukan lain.
"Bagi saya pemain yang bahaya dan orang tidak menyedarinya adalah Bruno Martelotto kerana jika anda ingat ketika kita menang 4-3 di Kota Bharu, Bruno terlibat dalam menghasilkan ketiga-tiga gol.
Dia akan memberikan masalah besar kepada kita. Zaquan Adha (Abdul Radzak) juga pemain yang baik. Keempat-empat mereka berbahaya," katanya.
0 Komentar untuk "Kelantan akan guna bom budu ke atas ATM"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top