Info Putra Heights 2016

Jenama Malaysia - Tiga bank, tiga syarikat telekomunikasi dahului senarai

  • Foto
  • Jumlah nilai 30 Jenama Paling Bernilai Malaysia 2012 (MMVB 2012) meningkat 49 peratus kepada RM80.2 bilion daripada hanya RM40.902 bilion pada 2009.
    Tiga bank serta tiga syarikat telekomunikasi mendahului senarai MMVB bagi tahun ini dengan Maybank muncul peneraju dengan nilai jenama RM10.96 bilion, melonjak 103.9 peratus sejak 2009.

    Jenama perlu berfungsi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Justeru, firma pengiklanan dan pemasaran perlu menggalakkan kebebasan kreativiti bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang sehingga mencapai tahap yang produk dan perkhidmatan kita diterima di seluruh dunia," - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
    Ini diikuti oleh CIMB dengan nilai jenama RM10.518 bilion; Maxis (RM10.084 bilion); Public Bank (RM9.134 bilion); Celcom (RM5.689 bilion); dan DiGi (RM4.705 bilion).

    Dalam senarai yang ditentukan hasil kajian Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama firma perunding jenama global, Interbrand itu, Parkson yang berada di tempat kelapan keseluruhan muncul jenama paling bernilai dalam industri peruncitan, PERODUA di tempat ke-11 pula bagi industri automotif, manakala AirAsia di tempat ke-12 bagi industri penerbangan.

    TV3 tangga ke-19

    Sementara itu, Sime Darby yang berada di tempat ke-9 keseluruhan adalah jenama paling bernilai di kalangan syarikat konglomerat; SP Setia di tempat ke-18 pula bagi industri hartanah dan infrastruktur, manakala F&N di tempat ke16 untuk industri makanan dan minuman (F&B).
    Stesen televisyen milik kumpulan media bersepadu Media Prima Bhd, TV3 yang berada di tempat ke-19 secara keseluruhan pula muncul jenama paling bernilai bagi industri media, manakala Padini di tempat ke25 pula bagi industri pakaian.

    Anugerah kepada syarikat yang berada dalam senarai 30 MMVB 2012 itu disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis gala di Kuala Lumpur, semalam.

    Jenama dan emosi

    Muhyiddin dalam teks ucapannya yang dibacakan Mukhriz berkata, bagi meraih kejayaan dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini, sesuatu jenama perlu memiliki keupayaan untuk berhubung secara emosi dengan pengguna serta menyediakan mereka dengan pengalaman berharga.

    "Jenama perlu berfungsi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Justeru, firma pengiklanan dan pemasaran perlu menggalakkan kebebasan kreativiti bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang sehingga mencapai tahap yang mana produk dan perkhidmatan kita diterima di seluruh dunia," katanya.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin; Pengerusi Penganjur MMVB 2012, Jennifer Chan; serta Ketua Eksekutif Interbrand, Julian Barrans.

    Media Prima adalah penyampai bersama MMVB 2012 yang turut disokong Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

    Entiti komersial

    Sementara itu Presiden 4As, Tony Savarimuthu, berkata sememangnya tidak dapat dinafikan jenama juga adalah sebahagian daripada entiti komersial.

    Tetapi, katanya, apa yang lebih penting ia juga adalah pendorong kepada perubahan positif dalam masyarakat.

    Beliau berkata, didorong jangkaan pengguna terhadap tingkah laku korporat, peranan dan nilai sesuatu jenama telah mengalami perubahan terutama dalam tempoh lima tahun ini.

    "Jenama hanya boleh dinilai jika pemimpin yang menerajuinya mempunyai nilai sebenar. Ia adalah resipi baru bagi pertumbuhan dan membezakan sesuatu jenama pada masa kini," katanya.

    Semua jenama yang tersenarai adalah berasaskan kegunaan pengguna, berasal atau dilancarkan di Malaysia dan dimiliki oleh syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

    Penilaiannya adalah berasaskan kepada tiga komponen utama, iaitu prestasi kewangan, peranan jenama serta kekukuhan jenama.
    0 Komentar untuk "Jenama Malaysia - Tiga bank, tiga syarikat telekomunikasi dahului senarai"

    Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

    Back To Top