Info Putra Heights 2016

Hidap diabetes sejak umur 10 tahun

Siti Nur Faizah kerap pengsan, tumpuan terhadap pelajaran sering terganggu

PONTIAN - Sudah hampir enam tahun, dia bergantung dengan insulin untuk meneruskan kehidupan akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak berusia 10 tahun.

Jika rakan seusianya menghabiskan masa belajar di sekolah, namun bagi Siti Nur Faizah Jamil, 17, kehidupannya lebih banyak tertumpu di rumah dan hospital sahaja.

Kekerapan gadis kecil molek ini pengsan akibat paras gula yang terlalu tinggi di dalam tubuh menyebabkan tumpuannya terhadap pelajaran sering terganggu.

"Siapa tidak bimbang, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal lagi sebulan, entah bagaimana hendak saya lalui," katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya di Kampung Jelutong, Ayer Baloi, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali dia pengsan, pasti ibu bapanya diserang kebimbangan kerana penyakit yang dihidapi itu kadang kala menyerang urat saraf.

Jelasnya, ayahnya tempat dia bergantung dan akan berusaha memulihkan keadaannya ketika penyakitnya datang.

"Pelbagai cara ayah gunakan bagi memastikan saya terus sedar dan dapat bernafas," katanya.

Koma hampir dua bulan

Bagi ayahnya, Jamil Sanusi, 50, berkata, jauh di sudut hatinya, dia mahu anaknya kembali sihat walau apa cara sekalipun yang terpaksa dilakukannya.

Menurutnya, Siti Nur Faizah pernah koma hampir dua bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, tahun lalu.

"Disebabkan paras gula yang terlalu tinggi, anak saya sering pengsan dan kadangkala mengalami kekejangan otot sehingga boleh menyerang bahagian otak," katanya.

Jamil berkata, dengan pendapatan tidak menentu sebagai pemandu lori ditambah dengan perbelanjaan harian dan persekolahan tujuh anaknya, sukar untuk dia menyediakan kos perubatan untuk Siti Nur Faizah.

Jelasnya, Siti Nur Faizah perlu mengambil tiga kali suntikan insulin setiap hari, di mana jarumnya perlu dibeli sendiri.

Harap perhatian jabatan

Tambahnya, anaknya itu juga perlu dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil bekalan ubat.

"Saya sedih dengan keadaan anak saya itu, sepatutnya sekarang dia bersama dengan rakan-rakannya di sekolah belajar dan bergembira,

"Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana keadaannya, jika saya tidak ada suatu masa nanti," katanya.

Jamil berkata, pihak jabatan berkenaan pernah membuat lawatan ke rumahnya, namun sehingga kini dia masih belum memperoleh sebarang jawapan berkaitan bantuan untuk anaknya itu.

Menurutnya, meskipun begitu, dia bersyukur kerana banyak pihak termasuk penduduk kampung dan guru sekolah membantu anaknya itu.

"Namun, saya berharap agar jawapan positif diberikan pihak berkenaan terhadap bantuan ini," katanya.

Ada yang prihatin

Bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga Jamil, Pusat Aduan Rakyat Pas (PAR) kawasan Pontian, menyalurkan bantuan ke kediamannya.

Penyelianya, Atan Gombang berkata, selain memberi sumbangan barang keperluan makanan, gotong-royong membaiki rumah keluarga itu turut dilakukan.

Menurutnya, bahagian rumah seperti zink yang sudah berlubang dibaiki bagi memberi keselesaan kepada keluarga di rumah dua bilik itu.

"Segala perbelanjaan untuk membeli zink baru adalah sumbangan ihklas daripada ahli iaitu sebanyak RM500," katanya ketika ditemui pada gotong-royong membaiki rumah di Kampung Jelutong, baru-baru ini.

Ujarnya, masalah keluarga Jamil yang mempunyai seorang anak yang menghidap kencing manis mendapat perhatian daripada ahli Pas kawasan Pontian.

Sehubungan itu, mereka sepakat mengadakan gotong royong membaiki rumah dan memberikan sumbangan barangan keperluan kepadanya.

"Diharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban yang ditanggung Jamil untuk menyara ahli keluarganya.

"Program gotong royong seumpama ini akan diteruskan bagi membantu golongan seperti keluarga Jamil," katanya.
0 Komentar untuk "Hidap diabetes sejak umur 10 tahun"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top