Info Putra Heights 2016

‘Hati-hati Selangor’

BARISAN pertahanan Selangor digesa lebih waspada dan peka dengan jentera serangan Kelantan bagi memastikan impian Merah Kuning menyempurnakan Misi 33 terus menyala.
Watak penting barisan pertahanan kini menjadi harapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi dengan mudah pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Jumaat ini selain harapan tinggi diletakkan kepada jentera serangan diketuai Bosko Balaban.

"Saya harap mereka meneruskan corak permainan yang dipamerkan Khamis lalu. Ia secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada saya yang menjadi individu terakhir memastikan gawang tidak bocor di saat kami memerlukan gol penyamaan seawal mungkin," katanya yang turut menaruh harapan penyokong Merah Kuning akan hadir memenuhi stadium.
Jentera serangan Kelantan yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar sememangnya berbahaya musim ini hingga berjaya melonjakkan The Red Warriors muncul juara Liga Super dan Piala FA dan kini mengejar kejuaraan treble yang kali terakhir dilakukan Kedah pada musim 2008. Bagi perlawanan timbal balik di Stadium Shah Alam, khidmat pemain pertahanan tengah, Mohd Nasriq Baharom tidak dapat digunakan kerana dilayang kad merah di Kota Bharu namun pengendali, Irfan Bakti Abu Salim dilihat tidak bermasalah menggantikan pemain lain untuk menggalas tugas bergandingan dengan Ramez Dayoub.

Malah Norazlan berkeyakinan tinggi tiada yang mustahil untuk direalisasikan Merah Kuning di hadapan penonton sendiri walaupun lawan membawa bekalan satu gol hasil jaringan Norfarhan Muhammad di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Kami kekal sebagai pasukan bukan pilihan dan ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan. Paling penting pemain memberi komitmen penuh bagi memastikan ia dapat diakhiri dalam tempoh 90 minit," katanya.
Kali terakhir juara 32 kali Piala Malaysia itu mara ke final pada 2008 namun kecundang 2-3 kepada Kedah.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memaklumkan tiket bagi perlawanan terbabit mula dijual pada Khamis bermula jam 9 pagi hingga 7 petang dan pada hari perlawanan bermula jam 9 pagi hingga 8 malam di Stadium Shah Alam dengan harga RM15 bagi orang dewasa manakala kanak-kanak, RM5.
0 Komentar untuk "‘Hati-hati Selangor’"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top