Info Putra Heights 2016

Final Piala Malaysia 2012 - Disambut bagai wira

KEPULANGAN skuad The Red Warriors ke bumi Che Siti Wan Kembang disambut meriah apabila lebih 10,000 peminat setianya berhimpun di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu semalam.
Meskipun tiba agak lewat daripada waktu yang dijadualkan, namun ia tidak melunturkan semangat para penyokong untuk melihat lebih dekat wira-wira kesayangan mereka.
 
Bukan itu sahaja, mereka turut berbaris di sepanjang laluan daripada LTSIP ke Kota Bharu Trade Centre (KTC) sambil mengibarkan bendera negeri dan The Red Warriors sebagai tanda sokongan kepada pasukan.
Ketibaan skuad kendalian Bojan Hodak itu disambut oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussain.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Hanapi Mamat.
 
Konvoi motosikal berkuasa tinggi
 
Sejurus selepas itu, para pemain dibawa menaiki bas menuju ke KTC untuk menghadiri majlis ringkas diiringi oleh pasukan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan beberapa buah kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, seorang penyokong setia Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohammad menyifatkan kejayaan trebel yang dilakar oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu cukup mengujakan.
 
"Inilah kali pertama kita menjulang kejuaraan trebel. Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh penyokong setia The Red Warriors.
"Saya akui perlawanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup sengit, walaupun tanpa Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad kita masih mampu melakar kejayaan.
 
Syabas dan tahniah
 
"Ini membuktikan ketiadaan dua tonggak tersebut tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan akhirnya kita berjaya melakar kejayaan," katanya.
Seorang lagi penyokong Abdul Fattah Mustapha berkata, kejayaan menjulang kejuaraan trebel bakal menjadi kenangan terindah buat seluruh rakyat di negeri Kelantan.
"Sejarah ini akan dikenang sampai bila-bila. Bukan mudah untuk berada pada tahap ini dan saya berharap kita dapat mengekalkan kejuaraan ini pada musim hadapan.
"Syabas dan tahniah buat seluruh pemain, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) serta penyokong setia atas kejuaraan ini," jelasnya.
0 Komentar untuk "Final Piala Malaysia 2012 - Disambut bagai wira"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top