Info Putra Heights 2016

Fenomena Halo tarik perhatian

SHAH ALAM: Orang ramai di sekitar bandar raya ini dan Lembah Klang tidak perlu bimbang dengan satu fenomena dengan lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari, semalam kerana ia Fenomena Halo iaitu satu kejadian biasa yang secara saintifiknya digelar 22 Darjah Matahari Halo.
Pegawai Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd Zamri Shah Mastur berkata, Halo adalah fenomena semula jadi iaitu satu lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan, malah boleh berlaku dari sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

"Terdapat pelbagai jenis Halo, secara umumnya ia muncul disebabkan kristal ais pada awan Cirrus yang sejuk dan berada pada ketinggian lima hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera," katanya.
Beliau berkata, fenomena itu berkemungkinan boleh dilihat 100 hari setiap tahun.

Semalam, sebahagian penduduk di bandar raya ini hairan, malah ada yang mengaitkannya sebagai tanda-tanda kiamat.

Fenomena Halo yang muncul selama dua jam bermula 1 tengah hari semalam menarik ramai penduduk keluar untuk melihatnya dan mengambil gambar.
Pejabat Harian Metro cawangan Selangor di Bukit Jelutong, di sini, turut menerima beberapa panggilan daripada pembaca berhubung kejadian itu.
0 Komentar untuk "Fenomena Halo tarik perhatian"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top