Info Putra Heights 2016

Effa Owona sertai Terengganu

PENYERANG import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona yang akan tamat kontrak dengan pasukan itu hujung bulan depan bakal mengetuai jentera serangan pasukan Terengganu musim depan.
Pemain berusia 29 tahun itu yang pernah beraksi dalam Liga Perancis dan Liga Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga yakin dapat menunjukkan prestasi lebih baik apabila menganggotai skuad Terengganu kelak.
Keyakinan tersebut diluahkan penyerang kelahiran Cameroon itu yang berjaya merekodkan 24 jaringan daripada 30 perlawanan dalam tempoh semusim ketika bersama Negeri Sembilan.
 
"Saya juga kenal beberapa pemain di sini (Terengganu) dan saya yakin saya boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya lakukan sebelum ini," katanya.
Owona ditemui selepas menandatangani kontrak bersama skuad Penyu di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Kuala Terengganu semalam. Hadir pada majlis itu, pengurus pasukan, Marzuki Yusof.
Kontrak Owona selama setahun bersama skuad Penyu akan berkuat kuasa mulai 1 Disember depan tetapi dia akan mula menjalani latihan bersama pasukan baharunya itu lebih awal iaitu pada 25 November nanti.
 
Sementara itu, menurut Marzuki, selain Owona, Terengganu juga akan mengumumkan pemain import kedua mereka yang akan beraksi di posisi pertahanan minggu depan.
"Kita akan adakan ujian pemilihan pada 7 November ini untuk mendapatkan seorang lagi pemain import dan setakat ini, enam atau tujuh pemain luar termasuk dari Brazil, Congo dan Ghana telah dikenal pasti untuk mengisi posisi tersebut.
"Kita akan tengok dan buat penilaian bersama. Saya yakin menjelang minggu depan, perkara ini (urusan pengambilan pemain import) akan selesai," katanya.
Jelasnya, beberapa pemain tempatan juga telah dipilih untuk menjalani sesi pemilihan bersama skuad Penyu musim depan, namun beliau enggan mendedahkan nama pemain berkenaan buat masa ini
 
"Apa yang penting ialah kita sasar untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim depan," katanya.
0 Komentar untuk "Effa Owona sertai Terengganu"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top