Info Putra Heights 2016

e-Pusara pelengkap Raudhatul Sakinah

SEJAK tiga bulan lalu, Ahmad Fathiri Ahmad Fadzlah, 34, tidak pernah putus menziarahi pusara arwah ayahnya, Allahyarham Ahmad Fadzlah Mohd. Salleh. Setiap hari, pada pukul 8 pagi, ahli perniagaan itu meluangkan masa memandu ke Tanah Perkuburan Islam KL-Karak yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Melewar, Gombak.
Kekerapan kunjungan Ahmad Fathiri ke tanah perkuburan yang digelar Raudhatul Sakinah berkonsepkan kubur dalam taman itu membuatkannya cukup mahir selok-belok kawasan berkeluasan 32.75 hektar tersebut. Mujur pusara ayahnya ditempatkan di dalam zon baharu yang dipisahkan mengikut jantina.
Tanah perkuburan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Julai lalu. Kedatangan Ahmad Fathiri ke tanah perkuburan itu disambut audio alunan ayat-ayat al-Quran yang berkumandang ke setiap pelosok kawasan pusara.
"Pelandskapan cemerlang di sini langsung tidak mencerminkan ia sebagai sebuah tanah perkuburan. Suasananya juga tenang dan indah sekali gus menghilangkan rasa takut yang dirasai kebanyakan orang yang menziarahi tanah perkuburan.
"Menerusi papan tanda bergrid, waris dapat mengenal pasti lokasi tepat pusara yang ingin diziarahi. Kemudahan siar kaki yang memisahkan setiap zon pula memberikan keselesaan kepada orang ramai.
"Infrastruktur lain seperti surau, tandas dan pejabat pengurusan turut diletakkan di dalam kawasan tanah perkuburan," kongsi Ahmad Fathiri yang ditemani anak lelakinya pada hari tersebut.
Tambahnya, pengindahan dan penyelenggaraan perkuburan Islam sebegitu wajar dilaksanakan di semua tempat. Bagi Ahmad Fathiri, tempat persemadian jenazah perlu dihormati dan diurus dengan sempurna.
 
ah perkuburan yang terbiar seringkali mengundang kedatangan haiwan liar seperti anjing dan binatang berbisa seperti ular. Justeru, ia mengancam keselamatan waris yang datang menziarah.
Konsep kubur
Melewati setiap zon di Raudhatul Sakinah, cukup menyejukkan pandangan mata. Lambaian pohon-pohon bersaiz sederhana seperti cempaka hutan, kurma, kemboja dan banyak lagi menciptakan ambien nyaman yang tidak pernah dirasai tatkala mengunjungi kawasan perkuburan lain.
Memandangkan tanah perkuburan tersebut dibuka sejak tahun 1987 dan menerima jenazah pertama pada tahun 1992, konsep perkuburan dalam taman hanya dilaksanakan di kawasan-kawasan baharu. Ia meliputi Fasa 7C dan sebahagian Fasa 7A. Fasa-fasa lain pula akan dijalankan secara berperingkat mengikut keperluan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, menceritakan keistimewaan konsep kubur dalam taman yang pertama di Malaysia itu.
Ulasnya: "Fasa baharu perkuburan KL-Karak dilengkapi batu tanda pusara yang disusun secara seragam. Kepungan kuburan juga perlu mematuhi spesifikasi yang kami tetapkan dan menepati hukum syarak.
"Sehubungan itu, waris yang ingin menempah kepungan sendiri disarankan melihat contoh sedia ada atau boleh membuat tempahan menerusi pejabat pengurusan kami di situ.
 
"Begitu juga dengan pokok atau bunga yang ingin ditanam waris di pusara ahli keluarga mereka. Tiada halangan untuk berbuat demikian namun, ketinggian pokok tidak boleh melebihi batu nisan. Disebabkan itu kami menanam pokok yang sama di atas setiap pusara bagi membentuk keseragaman."
Selain itu, penyediaan lampu-lampu di sepanjang jalan utama, membantu menerangi kawasan perkuburan bermula pada pukul 7 malam sehingga 12 malam. Ia beroperasi secara automatik setiap hari.
Skrin yang diletakkan di bawah pondok berhampiran pejabat pengurusan pula bertujuan memberi maklumat kepada waris dan orang ramai tentang keterangan upacara pengebumian yang berlaku pada hari tersebut.
Tambah Che Mat, konsep Raudhatul Sakinah bakal diterapkan di kawasan-kawasan perkuburan baharu di bawah penyelenggaraan Jawi yang akan dibangunkan kelak.
Sistem e-Pusara
Ia juga bakal merangkumi kemudahan sistem e-Pusara yang telah dikuatkuasakan di tanah perkuburan Islam KL-Karak dan Bukit Kiara.
 
Mengupas sistem dokumentasi maklumat jenazah yang dikuburkan itu, Che Mat memberitahu, kedua-dua tanah perkuburan tersebut terletak di bawah fasa pertama.
Pembangunan e-Pusara fasa kedua akan diperluaskan ke enam buah tanah perkuburan Islam sekitar Kuala Lumpur. Kawasan yang terlibat adalah Segambut Dalam (Taman Sri Sinar), Taman Ibu Kota, Titiwangsa, Kg. Datuk Keramat, Kg. Midah Dalam dan Kg. Sungai Penchala.
"Secara keseluruhan, pembangunan sistem e-Pusara fasa pertama mengambil masa selama satu tahun. Bagaimanapun, ia bergantung kepada rekod manual maklumat pengebumian yang disimpan.
"Sejak ia dibangunkan pada tahun 2010, rekod penguburan dalam tempoh 10 tahun bagi KL-Karak dan 20 tahun untuk Bukit Kiara dapat dilaksanakan," ujar Che Mat ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.
Mengakui kemudahan sistem e-Pusara tersebut ialah seorang waris, Baili Ahjun, 64. Beliau mempunyai beberapa saudara-mara yang disemadikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara.
Menurut Baili yang telah melibatkan diri dalam pengurusan jenazah selama 37 tahun, hanya dengan memasukkan nama si mati atau nombor lot kubur, pelawat laman web e-Pusara dapat mengesan lokasi pusara dengan pantas dan mudah.
"Prosedur pengurusan masih sama. Sebagai kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, jenazah yang bermastautin di dalam kawasan kami akan diuruskan pihak masjid sebelum dikebumikan di Bukit Kiara.
"Seperti biasa, wakil khairat kematian masjid akan memaklumkan kepada penggali kubur maklumat tentang si mati. Dahulu, ia direkodkan secara manual namun, kini segalanya boleh diakses menerusi sistem komputer," ujar Baili yang memberitahu dahulu pengebumian qariah sekitar Bangsar lazimnya disempurnakan di tanah perkuburan Islam Jalan Ang Seng, Brickfields Kuala Lumpur tetapi ia telah penuh.
0 Komentar untuk "e-Pusara pelengkap Raudhatul Sakinah"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top