Info Putra Heights 2016

'Dulu kita dah nasihat dia'

Kuantan: Konflik dihadapi Safee Sali seharusnya dapat dielak jika penyerang prolifik itu lebih berhati-hati sebelum berpindah beraksi dengan kelab luar negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata kes yang menimpa penyerang kebangsaan itu lebih kepada menjadi mangsa keadaan.
Katanya, sebelum bersama kelab Pelita Jaya, Safee sendiri sudah mengetahui status Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang didakwa menganjurkan Liga Super Indonesia (ISL) secara haram.

Dulu kita (FAM) sudah nasihatkan dia untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sebelum menandatangani kontrak dengan kelab Pelita Jaya. Nasihat itu bukan bermakna FAM berniat menghalang pemain negara beraksi di luar negara.

Apa yang penting, pemain yang mahu beraksi dengan mana-mana kelab di luar negara kena berhati-hati... tengok kontrak ditawarkan dulu dengan teliti, katanya semalam.

Tengku Abdullah bagaimanapun berkata, keputusan terbaru bahawa Safee boleh beraksi bersama skuad kebangsaan adalah berita menggembirakan buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal dalam usaha mempertahankan Piala AFF Suzuki, bulan depan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin mengesahkan Safee tidak digantung dan penyerang itu boleh beraksi bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Hong Kong esok dan Piala AFF Suzuki.
Akhbar sebelum ini melaporkan Safee digantung daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan skuad negara selepas kelabnya bersama 31 kelab lain di Indonesia digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan itu dibuat selepas berlaku konflik antara PSSI dan Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia (KPSI) berkaitan status sebenar ISL dan Liga Perdana Indonesia (IPL) sebagai liga sah.
0 Komentar untuk "'Dulu kita dah nasihat dia'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top