Info Putra Heights 2016

Aidiladha disambut dengan kesederhanaan

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan dan disertai penghayatan pengorbanan yang dituntut ajaran Islam.
Cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilakukan di beberapa tempat seperti di masjid, surau, kampung dan taman perumahan.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan akan berlaku hujan dan ribut petir di beberapa buah negeri semasa sambutan Aidiladha.

Aidiladha kali ini juga disambut pada hari Jumaat iaitu penghulu bagi sekalian hari dan umat Islam akan kembali memenuhi masjid untuk solat Jumaat pada tengah hari.

Jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Namun Masjid Negara masih dipenuhi kira-kira 10,000 umat Islam termasuk warga asing memenuhi ruang untuk menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah.

Antara pesanan khutbah adalah menuntut umat Islam agar mengamalkan sikap sederhana dan bersedia berkorban demi mencapai keredhaan Allah.

Kira-kira 4,000 umat Islam pula bersolat di Masjid Kampung Baru.

Di Masjid Al-Amaniah, Batu Caves kira-kira 1,000 umat Islam pula memenuhi perkarangan masjid seawal 7.30 pagi lagi sehingga kawasan parkir dijadikan ruang untuk bersolat.

Antara yang melakukan korban secara gotong-royong hari ini Masjid Khalid Al-Walid di Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak yang melibatkan 24 ekor lembu dan Madrasah Al-Iman di Taman Sri Gombak Fasa 7 yang melibatkan lapan ekor lembu.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menyertai jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Aidiladhanya berharap agar Aidiladha diraikan dalam keadaan makmur, sejahtera dan penuh keberkatan selain mengajak umat Islam menghayati konsep pengorbanan yang dituntut Islam, yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga dan kepentingan diri bagi memperoleh keredhaan Allah.

Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya pula mengajak umat Islam di negara ini untuk memperbaharui azam dan memperteguh tekad bagi membina dan memperkukuh perpaduan ummah yang sejati sempena Aidiladha.

Di PERLIS, Aidiladha disambut dalam cuaca cerah dengan ratusan lembu disembelih bagi memenuhi ibadah korban selepas selesai solat sunat Aidiladha.

Kerajaan negeri menyumbangkan 130 ekor lembu yang diagihkan melalui wakil-wakil rakyat untuk dikorbankan mulai hari ini manakala ratusan ternakan lagi dikorbankan oleh individu.

Di ALOR SETAR, Masjid Zahir di sini menjadi tumpuan utama kepada kebanyakan pemimpin tempatan tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha dalam keadaan cuaca cerah.

Kebanyakan pemimpin itu kemudian pergi ke kawasan masing-masing selepas solat untuk melakukan ibadah korban.

Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Mohamad Hanafizi Abdullah, bersama kira-kira 5,000 umat Islam di Masjid Muhammadi di sini.

Selepas menunaikan solat, Sultan Kelantan menziarahi Makam Diraja Langgar di sini.

Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat Aidiladha bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Baginda diiringi kerabat di raja serta Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Di IPOH, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Abu Bakar As-Siddiq yang terletak di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini.

Baginda juga akan merasmikan Masjid Hidayatul Ummah di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar pada tengah hari ini dan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Bagi program tahunan Korban Perdana anjuran kerajaan negeri tahun ini sebanyak RM1.17 juta dana berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai agensi dan badan berkanun negeri.

Dana tersebut digunakan bagi tujuan pembelian haiwan untuk korban di peringkat negeri dan daerah-daerah seluruh negeri mulai esok.

Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Majlis Negeri Sultan Haji Ahmad 1, di sini.

Turut sama menyertai kira-kira 2,000 jemaah bagi solat sunat Aidiladha itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota mesyuarat kerajaan negeri serta pegawai kerajaan.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman mengimamkan solat sunat dan memberi khutbah Aidiladha yang antara lain menyeru masyarakat supaya terus memupuk perpaduan dan kerjasama erat tanpa mengira pangkat, usia dan bangsa bagi memastikan keamanan negara dikecapi.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Besar MSSAAS, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri.

Selain masyarakat tempatan, Masjid Negeri itu turut menjadi tumpuan para pelajar Islam dari luar negara terutamanya yang menuntut di Universiti Antarabangsa Al-Madinah dan pekerja asing.

Majlis korban di masjid itu akan diadakan esok.

Di KUALA PILAH, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 500 jemaah di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, di sini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Tengku Besar Mahmud selain beberapa kerabat diraja yang lain. Selepas itu baginda berdua ke majlis tahlil yang diadakan di Makam Diraja Seri Menanti.

Tuanku Muhriz kemudiannya menghadiri majlis korban yang diadakan di masjid berkenaan dan berkenan menyampaikan daging kepada 30 penerima.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menyertai kira-kira 7,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Majlis korban anjuran kerajaan negeri Melaka melibatkan sebanyak 19 ekor lembu akan dilakukan esok di masjid berkenaan.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Negeri, Sembulan, dekat sini.

Turut hadir pemimpin masyarakat dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Kebanyakan pemimpin negeri pulang ke kawasan masing-masing untuk solat Aidiladha. - Bernama
0 Komentar untuk "Aidiladha disambut dengan kesederhanaan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top