Info Putra Heights 2016

4 bank komersial tempatan setuju tawar skim pinjaman perumahan kerajaan

KUALA LUMPUR: Empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa bank dan keputusan konkrit bank-bank yang terlibat akan diumumkan sebelum hujung tahun ini.
"Bila kita melakukan penyumberan luar kepada bank, kita tidak perlu lagi meminjam RM6 bilion setahun yang kita peruntukkan untuk memberi pinjaman perumahan kepada kakitangan awam.

"Tapi, kita hanya menampung perbezaan kos faedah dan kakitangan awam masih membayar 4.0 peratus.

"Dari segi pinjaman, kita tidak akan menyusahkan kakitangan awam, sebaliknya kita akan tambah baik lagi proses peminjaman dan sebagainya," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan Helo Malaysia semalam.

Irwan berkata bank-bank tempatan turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk bekerja sama dengan mereka kerana ini merupakan peluang perniagaan buat mereka.

"Bank amat menyokong kerana ini merupakan perniagaan bagi bank. Walaupun penjawat awam hanya membayar 4.0 peratus, sebarang lebihan akan ditanggung oleh kerajaan."
"Kita belum tentukan berapa banyak bank yang terlibat, tetapi, buat masa ini empat bank telah bersetuju dan kita akan tawarkan kepada bank-bank lain untuk menyertai skim ini," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan bersetuju dengan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar bonus kepada penjawat awam pada Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan, Irwan berkata kerajaan akan menimbangkan permintaan berkenaan.

"Kalau kita layan sektor kerajaan, sektor swasta pun kita perlu layan. Jadi ini membebankan kerajaan dan kita perlu mengkaji supaya permintaan ini tidak membebankan kewangan kerajaan," katanya.

Irwan berkata kerajaan telah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk membayar bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam
0 Komentar untuk "4 bank komersial tempatan setuju tawar skim pinjaman perumahan kerajaan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top