Info Putra Heights 2016

30 peratus lepasan SPM cemerlang diserap sebagai guru pelatih

JOHOR BAHRU 13 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 30 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang dan berminat dengan bidang perguruan akan diserapkan sebagai guru pelatih mulai tahun depan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini, mereka yang dipilih adalah dalam kalangan mereka dengan keputusan 6A atau 7A, namun kelayakan itu akan dinaikkan kepada 9A.
"Hampir 400,000 menduduki SPM dan kita ambil yang terbaik sekiranya mereka berminat. Hanya 30 peratus yang cemerlang akan dipilih dengan syarat lebih ketat.
 
"Ini sasaran baru supaya guru-guru yang terlatih adalah yang terbaik, kita akan mulakan kriteria ini tahun depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Selatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini.
 
Muhyiddin turut merasmikan laman Facebook GM1M sebagai medium untuk semua guru muda di negara ini berhubung selain berkongsi pendapat mengenai perkara-perkara berkaitan.
 
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sudah memperoleh data daripada pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan digunakan sebagai asas peningkatan kualiti tenaga pendidik.
"Satu perkara yang kita akan tumpukan adalah meningkatkan kualiti pengajaran guru bahasa Inggeris yang kini berjumlah hampir 70,000 orang. Latihan-latihan tertentu telah dibuat dan kita ada piawaian yang akan kita gunakan berdasarkan Cambridge Placement Test sebagai ukuran," katanya.
Muhyiddin turut mengumumkan penambahan 25 pembantu guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat tahun hadapan sebagai tambahan kepada 50 sukarelawan sedia ada di sekolah-sekolah terpilih.
0 Komentar untuk "30 peratus lepasan SPM cemerlang diserap sebagai guru pelatih"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top