Info Putra Heights 2016

10,000 sertai Perkhemahan 100 Tahun Pengakap di Merapok

BINTULU 24 Okt. - Dianggarkan kira-kira 10,000 ahli pengakap dari negara ini akan menyertai Perkhemahan 100 Tahun Pengakap membabitkan pergerakan Pengakap dari Indonesia, Brunei dan Malaysia di Merapok, Lawas hujung tahun ini.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Bintulu, Janudin Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyertai perkemahan itu kerana boleh dijadikan gelanggang kepada ahlinya menimba ilmu pengetahuan serta mengeratkan hubungan.
 
"Melihat kepada kepentingan menyertai perkemahan itu, kita juga berhasrat menyertainya bagi membolehkan ahli-ahli mendapat pengalaman berguna," katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Penutupan Perkhemahan Jambori Di Udara (JOTA) 2012 yang disempurnakan Pengerusi Majlis Pengakap Malaysia Daerah Bintulu, Hussaini Hakim di sini semalam.
 
Sebanyak 170 ahli pengakap daripada Persekutuan Pengakap Daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh menyertai perkhemahan JOTA 2012 itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu.
Selain aktiviti perkhemahan, peserta JOTA 2012 turut mengadakan kempen menderma darah di Hospital Bintulu.
Mengenai perkhemahan JOTA 2012, Janudin memuji komitmen peserta terutamanya penglibatan pelajar dari kawasan luar bandar.
Katanya, penglibatan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai, SK Genaan, SK Bukit Balai dan SK Labang menjadi bukti aktiviti kokurikulum seperti itu masih mendapat tempat dan diberi keutamaan.
 
"Kita dan pelajar sedar aktiviti perkhemahan seperti ini amat penting dalam membentuk jati diri, semangat bekerjasama, setia kawan yang boleh digunakan dalam kehidupan seseorang pelajar pada masa depan," katanya.
0 Komentar untuk "10,000 sertai Perkhemahan 100 Tahun Pengakap di Merapok"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top