Info Putra Heights 2016

Tebar roti canai sara anak sakit kronik

SEMENYIH 23 Sept. - Seorang bapa, Hamri Ali, 41, merayu orang ramai menghulurkan sumbangan untuk dia menampung kos rawatan anaknya, Atileeya Dayana, 17 bulan yang menghidap sakit paru-paru kronik sehingga terpaksa sentiasa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Dengan bekerja sebagai penebar roti canai, Hamri berkata, dia tidak mampu untuk menanggung kos rawatan anaknya itu.
Hasil perkongsian hidup dengan Norhayati Jaafar, 29, dia dikurniakan empat cahaya mata yang kini berumur 10 tahun hingga tiga bulan dan menetap di Pangsapuri Baiduri, Beranang dekat ini.
 
Menurutnya, perbelanjaan harian yang tinggi serta perhatian khusus untuk anaknya yang sakit mendesaknya memohon sumbangan bagi meringankan beban kos rawatan.
 
"Isteri saya tidak bekerja dan perlu menumpukan perhatian kepada anak yang sakit serta anak bongsu yang baru berumur tiga bulan.
"Saya bekerja di dewan makan sebuah kolej berdekatan sebagai penebar roti canai dengan gaji harian RM50 dan bekerja lima hari seminggu manakala isteri membuat kuih secara kecil-kecilan untuk diletakkan di dewan makan tersebut," katanya.
Hamri berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit paru-paru kronik ketika berumur dua bulan selepas diserang demam panas dan koma selama 18 hari dan ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang.
 
"Selepas itu anak saya dirujuk ke Hospital Serdang dan mendapatkan rawatan di sana lebih lima bulan sebelum dibenarkan keluar pada November 2011.
"Pihak hospital meminjamkan alat bantuan pernafasan memandangkan anak saya terpaksa menggunakan alat ini 24 jam sehingga berumur tiga tahun," katanya.
Menurut Hamri, anaknya memerlukan susu khas berharga RM62 satu tin yang bertahan satu minggu.
Untuk keluar mendapatkan rawatan, Hamri terpaksa mengisi semula alat bantuan pernafasan mudah bawa di Puchong dengan kos RM30 bagi satu tangki untuk tempoh lima jam penggunaan.
 
"Anak saya perlu minum melalui tiub dan hanya makan makanan yang dikisar lembut sahaja. Dia memerlukan rawatan susulan di Hospital Serdang setiap dua bulan dan kami juga mempunyai tunggakan bil lebih dari RM800 sepanjang rawatannya di sana.
"Penggunaan elektrik juga meningkat kerana alat bantuan pernafasan dipasang 24 jam," katanya.
 
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Hamri Ali di nombor 105103086203.
Hamri berkata, dia hanya menerima bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Mac 2012 sebanyak RM200 sebulan dan bantuan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
0 Komentar untuk "Tebar roti canai sara anak sakit kronik"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top