Info Putra Heights 2016

Piawaian sebenar solat

UMAT Islam pasti tahu bahawa solat adalah perintah daripada Allah SWT dan kerana itu juga tiada pengecualian diberikan terhadap sesiapa pun sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisa, ayat 103 yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang yang beriman."
Namun, kadangkala solat tidak dirasakan sebagai tanggungjawab dan amanah Allah kepada hamba-Nya. Malah, kerana itu ada yang merasa solat itu umpama beban.
Justeru, dewasa ini ramai umat Islam yang tanpa rasa bersalah meninggalkan solat dengan sengaja kerana merasakan tidak mendapat apa-apa daripada solat selain penat dan terganggu dengan kewajipan yang perlu dilakukan dalam kehidupan seharian.

Ada pula yang lebih berani menyatakan secara tidak berilmu" "Aku tidak solat pun dapat makan juga, dapat hidup macam biasa juga. Baik tak payah solat."
Itu antara jawapan serta alasan bagi yang meninggalkan solat kerana tidak dapat melihat hikmah di sebalik perintah menunaikan solat itu.
Alhamdulillah, masih ramai umat Islam yang tetap taat mematuhi rukun Islam kedua ini. Bagaimanapun, mungkin masih banyak soalan berlegar di kotak pemikiran umat Islam berkenaan hal ehwal solat.

Saya pernah ditanya seseorang, mengapa dia tidak dapat meninggalkan perbuatan maksiat sedangkan dirinya tidak pernah meninggalkan solat, kerana sepatutnya solat itu mencegah dirinya daripada perkara keji dan mungkar.

Tidak dinafikan Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Ankabut ayat 45, yang bermaksud: "... dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah (kamu) daripada perkara keji dan mungkar."

Ya, memang pelik jika kita masih liat meninggalkan maksiat sedangkan kita tidak pernah meninggalkan solat. Jadi, adakah Allah sengaja menuturkan firmannya di dalam ayat di atas, pada hal perkara itu tidak berlaku dalam realiti sebenar kehidupan seorang Muslim.

Berapa ramai yang bersolat tetapi masih gemar melakukan maksiat? Berapa ramai yang mendirikan solat tetapi masih gagal mendapat ketenangan jiwa?

Itu antara soalan umum yang boleh memesongkan kepercayaan umat Islam terhadap apa yang dinyatakan oleh Allah melalui al-Quran dan semestinya tanpa bimbingan betul. Sesungguhnya, bukanlah sifat Allah memungkiri apa yang dijanjikan-Nya.

Sebenarnya, persoalan itu harus berbalik pada diri kita. Sejauh mana kita menepati kriteria dan 'piawaian' solat yang ditetapkan oleh syariat.

Memang masih ramai menunaikan solat, tetapi berapa ramai menunaikan solat dengan sepenuh hati?

Ramai umat Islam pada zaman ini kurang menitikberatkan hal ehwal solat. Menunaikan solat umpama melepaskan batuk di tangga atau dalam kata lain, 'asalkan buat'.

Jangan meremehkan dan meringankan perkara yang bersangkut paut dengan solat kerana solat bukan sekadar bermula dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan lafaz salam, sebaliknya ia lebih daripada itu.

Malah, solat itu sebaliknya boleh menjadi dosa apabila kita sengaja mengambil ringan hal solat, seperti mana Allah melaknat orang yang mendirikan solat sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Ma'uun ayat 4-5, yang bermaksud: "Neraka Wail (celakalah) bagi orang yang mengerjakan solat!"

Insya-Allah dalam artikel minggu ini, saya akan cuba mengupas beberapa perkara mengenai solat yang sering kita ringan-ringankan. Mudah-mudahan menjadi peringatan kepada diri saya dan menjadi sedikit renungan untuk kita semua.

Sebagaimana diketahui, untuk mengerjakan solat ada beberapa adab yang perlu dilakukan.


1. Wuduk

Wuduk atau dalam istilah orang Melayu, 'air sembahyang' antara perkara asas yang perlu sentiasa dititikberatkan, tetapi selalu dipandang remeh oleh umat Islam. Tidak sah solat seseorang itu tanpa wuduk bak pepatah latin mengatakan, 'Void ab-initio' (batal sejak daripada awal).

Allah berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 6, yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki (buku lali)."

Malangnya, masih ramai gagal menepati piawaian kesempurnaan wuduk yang ditetapkan oleh kaedah fiqh. Seperti contoh, membasuh muka tetapi tidak mengenai seluruh bahagian muka (yang ditetapkan) dan membasuh tangan tetapi tidak sampai ke siku.

Begitu juga apabila membasuh kaki, tidak membasuh dengan sebenar-benarnya dan gagal membuang kekotoran yang melekat.

Seperkara lagi yang selalu mencacatkan wuduk kita adalah apabila air terhalang oleh kuku yang panjang dan kita gagal memastikan air terkena bahagian yang terlindung oleh kuku panjang itu.

Maka cacatlah wuduk kita, dan secara automatiknya memberi kesan negatif terhadap solat didirikan. Susah payah kita menunaikan solat, tetapi pada masa yang sama, tidak dipandang Allah kerana cacatnya wuduk kita yang mungkin menyebabkan amalan solat kita tertolak dengan sendirinya.

Itu adalah perkara asas yang sewajarnya diambil perhatian oleh kita sebelum menunaikan solat. Insya-Allah jika sempurna wuduknya, semakin berkualiti penyerahan diri kita pada Allah melalui solat yang didirikan.


2. Tajwid

Lafaz Tajwid bererti memperelokkan. Dari segi istilah pula adalah "Mengeluarkan setiap huruf dari tempat keluarnya dengan memberi hak dan mustahaknya." Kewajipan untuk membaca al-Quran secara bertajwid dapat dilihat di dalam al-Quran dalam surah Al-Muzammil ayat 4, yang bermaksud: "... dan bacalah al-Quran dengan Tartil."

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang kemudian direkodkan di dalam naskhah al-Quran. Justeru, adakah kita sewenang-wenangnya mengambil mudah apabila menuturkan kalam Allah ini?

Kerana itulah tajwid penting di dalam solat dan juga ketika membaca al-Quran. Namun sungguh malang apabila kita sering mengabaikan penekanan terhadap ilmu tajwid.

Entah di mana panjang, di mana pendek, bagaimana makhraj sesuatu huruf itu mungkin tidak kita beratkan kerana tidak memahami kepentingan membaca ayat suci dengan bertajwid ini. Apatah lagi apabila mahu solat itu segera selesai, lintang-pukanglah tajwid dalam bacaan solat.

Tidak hairan mengapa solat tidak mendatangkan kesan kepada diri kita. Mungkin ada yang perlu diperbetulkan dan diteliti berkenaan ilmu tajwid kita.

Jika kita merasa malu apabila tidak dapat menuturkan bahasa Inggeris, kita sepatutnya lebih malu apabila tidak dapat menuturkan kalam suci Allah ini secara bertajwid.
0 Komentar untuk "Piawaian sebenar solat"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top