Info Putra Heights 2016

Jambatan dua terowong

MENAKJUBKAN. Itulah perkataan yang boleh digambarkan jika anda melihat kehebatan sebuah jambatan gantung di China yang diiktiraf sebagai jambatan gantung tertinggi di dunia.
Terletak berdekatan Jishou, wilayah Hunan, Jambatan Gantung Aizhai yang mempunyai panjang 1,176 meter dan berketinggian 330 meter, dibina sejak Oktober 2007 dan mengambil masa lima tahun sebelum disiapkan sepenuhnya.
Pada 31 Mac lalu, jambatan tersebut dibuka kepada umum dan pengguna jalan raya dapat menikmati perjalanan yang lebih singkat iaitu selama 30 minit menghubungkan Majlis Perbandaran Congqing ke bandar Changsha yang kebiasaannya mengambil masa perjalanan selama beberapa hari.
Pengguna juga hanya memerlukan masa kira-kira seminit untuk merentasi jambatan terbabit, sekali gus dapat mengelakkan kesesakan trafik di jalan-jalan biasa.
Apa yang lebih mengagumkan, jambatan tersebut dibina menghubungkan dua terowong di kawasan pergunungan Dehang, sekali gus memberi peluang kepada pengguna menikmati pemandangan yang luar biasa dari atas prasarana terbabit.
Dibina dengan kos AS$208 juta (RM650 juta) melalui pinjaman Bank Pembangunan Asia (ADB), jambatan yang mempunyai kelebaran 23.7 meter itu merupakan projek penting dalam pembinaan Lebuh Raya Jicha sepanjang 64 kilometer.
 
Projek lebuh raya itu juga dibina untuk menghubungkan kira-kira 18 terowong di kawasan pergunungan terbabit.
Jambatan Gantung Aizhai mempunyai empat lorong, masing-masing dua lorong untuk setiap arah dan pejalan kaki boleh menggunakan laluan yang dibina khas di bahagian bawah jambatan.
 
Selain itu, pengguna juga berpeluang menikmati pemandangan indah 1,888 lampu yang dipasang pada waktu malam di sepanjang jambatan terbabit.
Untuk menjimatkan kos, struktur sokongan dibina mengikut kesesuaian dengan keadaan kawasan persekitaran.
Malah, jurutera turut menambah besi tambahan di bahagian bawah jambatan untuk menstabilkan kabel-kabel serta mengurangkan kesan ayunan yang boleh merosakkan komponen lain.
Menurut Ketua Jurutera Jabatan Lebuh Raya dan Jambatan Wilayah Hunan, Chen Mingxian, beberapa teknik digunakan dalam projek terbabit bagi memastikan jambatan itu dibina dengan kukuh dan selamat.
Katanya, laluan utama penggantunggan jambatan sepanjang 1,176 meter merentasi gaung itu dibina terlebih dahulu sebelum jurutera menggunakan struktur pemisahan tiang dan galang untuk proses seterusnya.
 
Kemudian, jurutera menggunakan kabel sauh yang keras untuk proses penggantungan dan gentian karbon turut digunakan sebagai bahan sokongan.
Akhir sekali, teknik kabel penghalang kereta api tergelincir telah digunakan untuk menstabilkan galang keluli kekuda.
Mingxian berkata, pembinaan struktur itu mendapat sokongan kuat daripada penduduk tempatan yang mahu menikmati kemudahan canggih terbabit.
Malah katanya, Jambatan Gantung Aizhai merupakan satu daripada lambang kemegahan bidang kejuruteraan China dan warna merah struktur itu disifatkan sebagai mempamerkan semangat pembangunan pesat negara komunis tersebut.
0 Komentar untuk "Jambatan dua terowong"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top