Info Putra Heights 2016

Mencantikkan alunan ayat al-Quran

TIDAK seperti muzik atau nyanyian artis ternama yang menjadi lapuk apabila kerap diputarkan, alunan bacaan ayat al-Quran terus menjadi santapan rohani dan sentiasa menenangkan walau sekerap mana pun diperdengarkan.

Ini diakui Muhammad Ellyas Abdul Mutallib, 18, yang berasa semakin asyik dan sukar berhenti ketika membaca ayat suci, apatah lagi jika menghayati setiap tertib, termasuk tajwid.
Pemuda berasal dari Jitra, Kedah, yang mewakili Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Kuala Lumpur pada Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan kali ketiga mengakui penyertaannya dalam majlis itu mendorongnya memperbaiki bacaan.

“Mengamati bacaan sendiri seolah-olah memperingatkan diri mengenai aspek penting dalam bacaan al-Quran. Tugas saya mencantikkan bacaan dari segi ‘mahraj’ (sebutan huruf), tajwid (hukum bacaan) dan lagu taranum.

“Bermula dengan ingin memperbaiki bacaan, saya terdorong mewakili universiti, sekali gus membuka ruang kepada rakan sekampus menyertai pertandingan akan datang,” kata pelajar jurusan pentadbiran perniagaan ini.

Beliau yang mendapat bimbingan daripada finalis Akademi al-Quran, Suhailah Zulkifly berkata, banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki untuk meningkatkan mutu bacaan al-Quran.

“Asasnya sudah ada kerana pada usia seawal enam tahun saya didorong ayah, Abdul Mutalib Hanafi supaya rajin mengaji.

“Cuma kelainannya, pada majlis tilawah ini saya perlu memperdengarkan bacaan kepada ramai juri, apatah lagi ini pengalaman pertama saya,” katanya ketika ditemui pada majlis tilawah anjuran Yayasan Pelajar Islam Malaysia di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Qari dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor, Muhammad Farhan Mazelan, 25, tidak dapat menyembunyikan debarannya menyertai tilawah itu.

Dia yang menyampaikan bacaan dari surah al-Anfal cukup khuatir terhadap aspek tajwid.

“Biarpun suara dan alunan taranum lunak, andai tajwid tidak dijaga dengan betul, bacaan tidak akan sempurna.

“Oleh itu ustaz yang membimbing saya kerap menekankan aspek berkenaan, selain merujuk pada bacaan qari profesional,” katanya.

Farhan berkata, adik bongsunya, Muhammad Luqman Hakim turut mempunyai kecenderungan menjadi qari kerana kerap mewakili sekolah.

Wakil Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Ahmad Syariffuddin Mohamad menyertai tilawah itu kerana minat mendalam dalam bacaan al-Quran.

“Saya gemar mempelbagai gaya bacaan al-Quran untuk mencari bacaan yang sesuai dengan suara saya. Ketika ini saya suka mendengar bacaan johan qari Tilawah al-Quran peringkatan antarabangsa tahun lalu, Amir Rahman Abbas,” katanya.

Ahmad Syariffuddin dididik ibunya, Rohana Mohd Salim, yang juga guru mengaji di Qiraati Nurul Hidayah, Ayer Keroh, Melaka.

Pelajar jurusan zoologi ini berharap kesan daripada program sebegini dapat meningkatkan kesedaran golongan sebaya supaya lebih lagi mendekati al-Quran.

“Saya diusik rakan yang memanggil saya ustaz kerana gemar membaca al-Quran.
Namun saya melihat dari sudut positif dan berharap mereka juga akan menurut jejak saya satu hari kelak,” katanya.

Bagi qariah Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah, Basyirah Mohd Yaba, galakan keluarga sejak kecil membuatkan dia cenderung kepada al-Quran.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai keluarga yang menitikberatkan soal agama.
Apabila memperoleh peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian Islam, minat saya makin utuh dan al-Quran menjadi rakan karib saya di mana pun berada,” katanya yang berasal dari Membakut, Sabah.

Ditanya sama ada sukar menarik golongan muda membabitkan diri dalam program sebegini, Basyirah mengakui ia memang mencabar.

“Tentu saja pendekatan psikologi dapat menggalakkan generasi muda hadir ke program seumpama ini,” katanya.



PROFIL 1:

NAMA: Muhammad Ellyas Abdul Mutallib
UMUR: 18 tahun
ASAL: Jitra, Kedah
INSTITUSI: Unirazak Kuala Lumpur


PROFIL 2:

NAMA: Muhammad Farhan Mazelan
UMUR: 25 tahun
ASAL: Rawang, Selangor
INSTITUSI: UTHM, Johor


PROFIL 3:

NAMA: Ahmad Syarifuddin Mohamad
UMUR: 23 tahun
ASAL: Ayer Keroh, Melaka
INSTITUSI: Unimas, Sarawak


PROFIL 4:

NAMA: Basyirah Mohd Taba
UMUR: 23 tahun
ASAL: Membakut, Sabah
INSTITUSI: Kuin, Kedah
0 Komentar untuk "Mencantikkan alunan ayat al-Quran"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top