Info Putra Heights 2016

Makan ubat punca berat badan naik

AMPANG: Pada awalnya, Badri Mat Shah, 40-an, hanya mempunyai bentuk badan besar disebabkan saiz rangka tulang serta ketinggian melebihi 175 sentimeter.
Malah, Badri juga aktif dalam sukan dan pernah menyertai aktiviti lasak seperti tomoi dan mendaki gunung ketika muda.
Bagaimanapun, perjalanan hidupnya mula berubah apabila terpaksa dimasukkan ke hospital berikutan jangkitan kuman dalam darah yang dialaminya ketika berumur sekitar 20-an.

"Hampir 10 tahun saya perlu berulang-alik ke hospital. Boleh dikatakan dalam tempoh itu, hampir enam bulan saya perlu tinggal di hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Disebabkan penyakit ini berbahaya kerana boleh menyebabkan kematian, saya diberikan ubat khas bagi memastikan kesihatan saya dalam keadaan baik," katanya.

Sejak itu, kata Badri, disebabkan kurang bergerak dan hanya menghabiskan masa di katil hospital, dia mengalami penambahan berat badan tetapi masih dalam keadaan terkawal.

"Namun, berat badan terus meningkat, terutama selepas kematian isteri. Kini berat badan mencecah lebih 150 kilogram walaupun saya bukan jenis kuat makan.
"Mungkin ramai tidak percaya saya hanya mengambil makanan berat dua kali sehari dan kadangkala hanya sekali tanpa berasa lapar," katanya.

Menyingkap kembali perjalanan hidupnya, Badri mengaku pernah dua kali mengambil ubat untuk menguruskan badan selepas disyorkan oleh beberapa individu yang kononnya mahu menolong mengatasi masalah berat badan melampau.

"Kali pertama mengambil ubat kurus yang hanya dibeli di kedai kecil berhampiran pasar basah, selera makan saya semakin bertambah.

"Memang menghairankan kerana sebaik mengambil ubat itu, saya semakin kuat makan. Pelik dengan keadaan itu, saya berhenti memakannya selepas beberapa bulan.

"Bagaimanapun, saya diserang sakit gastrik dan ia dipercayai berpunca daripada tidak mengambil ubat kurus itu," katanya.

Namun, kejadian itu tidak membuatkan Badri serik apabila sekali lagi terpengaruh dengan pihak lain yang turut mempromosikan ubat kurus.

Tanpa berfikir panjang, selain mengimpikan mahu melakukan aktiviti lasak seperti sebelumnya, Badri mengambil ubat dan tubuhnya mula menunjukkan kesan positif.

"Memang waktu itu, berat badan mula berkurangan dan saya mula gembira kerana melihat hasil ubat yang diambil.

"Disebabkan yakin berjaya mengurangkan berat badan, saya berhenti mengambil ubat kurus itu dan percaya boleh mengekalkan bentuk badan sedia ada.

"Malangnya, saya mendapati badan mula membesar semula, malah lebih besar daripada saiz sebelum saya mengambil ubat itu," katanya.

Memikirkan kesan jangka masa panjang selain tidak mahu bergantung pada ubat kurus itu seumur hidup, Badri mengambil keputusan menjaga kesihatan melalui gaya hidup sihat.

Beliau yang turut terbabit dengan perubatan tradisional mengamalkan khasiat sayur, ulam dan buah-buahan tempatan bagi mengimbangi masalah obesiti dialaminya.

"Saya akui, dengan badan seperti ini, saya mudah dijangkiti penyakit berbahaya seperti kencing manis dan sakit jantung jika tidak mengawal pemakanan.

"Alhamdulillah, sehingga kini saya masih tidak mengalami penyakit berkenaan berbanding orang lain yang jauh lebih muda dan bersaiz kecil.

"Saya juga masih mampu naik tangga ke tingkat 17 tanpa perlu memikirkan masalah sesak nafas, sekali gus menunjukkan salur darah dan jantung saya tidak bermasalah, tetapi ia perlu mengambil masa lama kerana masalah beban berat badan," katanya.
0 Komentar untuk "Makan ubat punca berat badan naik"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top