Info Putra Heights 2016

Dulu penjaja kuih, kini usahawan kek

KEK Lapis Dayang Salhah bukan satu nama baru dalam industri kek lapis di Bumi Kenyalang. Bahkan, keenakan kek tersebut menjulang nama pemiliknya, Dayang Salhah hingga ke Sabah, Semenanjung bahkan ke negara jiran, Brunei dan Singapura.

Kunjungan ke bandar raya Kuching, Sarawak bagaikan tidak lengkap andai pengunjung tidak membeli kek lapis Dayang Salhah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Kek lapis moden Sarawak dipercayai telah lama diperkenalkan di Sarawak sekitar tahun 1990.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui kisah di sebalik kejayaan jenama Kek Lapis Dayang Salhah yang diusahakan sendiri oleh Dayang Salhah Awang Weldan, 48.
 
Sejak zaman kanak-kanak, Dayang Salhah rajin membantu ibunya membuat kuih-muih selain berniaga secara kecil-kecilan berhampiran rumah mereka di Kampung Gersik, Petra Jaya.
Berkat kesungguhan dan jerih perih yang dilalui berjaya mengubah kehidupan suri rumah ini. Dahulu, beliau menyara hidup dengan menjaja kuih-muih dan pisang goreng. Kini, beliau ialah usahawan kek lapis.
Dayang Salhah hanya menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya. Dengan kelulusannya itu, tidak ada pekerjaan lain yang dapat dilakukan melainkan membantu ibu membuat kuih-muih secara kecil-kecilan.
Menu utama
 
"Saya tidak mempunyai pendidikan formal dalam berniaga, saya hanya belajar selok-belok perniagaan daripada ibu yang berniaga kuih.
"Ibu banyak mewariskan kemahiran memasaknya kepada saya. Ketika itu, saya membantu ibu mendapatkan duit poket sekali gus meringankan beban keluarga," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di Kampung Gersik, Petra Jaya.

 
Anak kedua daripada enam beradik ini memberitahu, bertitik-tolak daripada ilmu perniagaan yang diperoleh secara tidak formal itu, dia merancang memulakan perusahaan menjual kek lapis secara kecil-kecilan di rumah sekitar tahun 1997. Dayang Salhah bersetuju bahawa kek lapis sebagai bukti atau gambaran terhadap ketekunan wanita Sarawak.
Bahkan, kek lapis juga cukup sinonim dengan penduduk Sarawak yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan etnik.
Lebih unik, setiap kali perayaan tidak kira Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha serta Krismas, kek lapis akan menjadi menu utama setiap rumah di Sarawak.
Bagaimanapun, Dayang Salhah menjelaskan, teknik pembuatan kek lapis tidak semudah seperti yang disangka. Pembuat kek perlu kreatif dalam menentukan corak di samping perlu mempunyai kesabaran yang tinggi.
Setiap lapis kek perlu dibakar dengan sempurna untuk menjaga kualiti kek. Proses tersebut benar-benar menguji kesabaran dan ketekunan pembuatnya.
Semakin unik corak sesuatu kek lapis semakin banyak usaha yang perlu dicurahkan. Dengan erti kata lain, proses pembuatannya sebagai menghasilkan kek di dalam kek.
"Proses yang paling sukar ialah menghasilkan corak kek lapis kerana lebih unik sesebuah kek lapis itu, maka lebih banyak usaha diperlukan.
"Motif pada kek lapis itu akan kelihatan jelas apabila ia dipotong menegak sekali gus mempamerkan bahagian dalamnya yang bercorak. Secara tidak langsung, corak-corak tersebut melambangkan kejujuran, kreativiti, keunikan serta ketelitian pembuatnya yang rata-rata terdiri daripada kalangan wanita," jelasnya.
Sejak tahun 1997, Dayang Salhah memulakan operasi kek lapis di No. 40, Kampung Gersik dengan 10 tenaga kerja. Kesemuanya terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-maranya.
 
Ramai kepakaran
Kemudian, Dayang Salhah menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching pada Ogos 2002. Bergalaskan jenama Kek Lapis Dayang Salhah, produknya itu semakin dikenali ramai di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
"PPK banyak membantu saya mengembangkan perniagaan kek lapis ini sama ada dari segi nasihat, bimbingan dan kewangan.
"Berpegang kepada prinsip tidak mudah berasa selesa dan ingin memajukan perniagaan, saya menubuhkan syarikat sendiri yang dikenali sebagai Dayang Salhah Enterprise pada 19 Mei 2006," katanya.

 
Menerusi syarikat tersebut, Dayang Salhah menjalankan perniagaan pembuatan makanan iaitu kek dan biskut dengan jenama sendiri.
Jenama tersebut kini menumpukan kepada pengeluaran kek lapis Sarawak dan swiss roll.
"Kini syarikat milik saya ini mempunyai kepakaran dan juga tenaga kerja seramai 160 orang bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat setiap hari.
"Kita tidak menggunakan sebarang strategi pemasaran, sebaliknya lebih mementingkan kualiti produk kek lapis terutama dari segi rasa,"kata anak jati Kuching, Sarawak ini.
 
Tidak hairanlah para pengunjung termasuk pelancong asing yang pertama kali datang untuk mendapatkan kek lapis di kedainya di tebingan Sungai Sarawak akan datang semula selepas menikmati kek lapis Dayang Salhah.
Beliau juga menerima banyak maklum balas positif yang memuji rasa kek lapisnya yang tidak berubah sejak dahulu lagi.
"Mereka yang pernah datang ke kedai kek lapis Dayang Salhah ini akan datang semula bersama ahli keluarga atau rakan-rakan yang secara tidak langsung mempromosikan produk kami dari mulut ke mulut," ujar wanita yang murah dengan senyuman ini.
 
Bagi mengembangkan perniagaannya, syarikat Dayang Salhah Enterprise kini mempunyai dua buah kilang. Sebuah kilang terletak di Demak Laut Industrial Estate manakala yang baharu beroperasi sejak tiga bulan lalu pula terletak di SMI Industrial Park, Demak Laut.
Dalam tempoh 15 tahun menjadi pengusaha kek, Dayang Salhah mengakui banyak rintangan yang dilaluinya. Namun, sifat putus asa atau cepat mengalah tidak pernah wujud dalam diari hidup beliau.
Ujian paling besar sepanjang mengusahakan kek lapis ialah apabila mentega Golden Churn Creamy Butter diisytiharkan tidak halal tahun lalu.
Ikon kek lapis
 
"Ekoran isu tersebut, jualan kek lapis saya merudum hingga mengakibatkan kerugian besar walaupun saya tidak menggunakan mentega tersebut dalam kek lapis saya," jelasnya.
 
Adakah Dayang Salhah merasakan dia merupakan ikon kek lapis moden Sarawak? Ujar beliau: "Untuk meletakkan jenama ini sebagai ikon kek lapis Sarawak terlalu tinggi, lagipun banyak saingan kerana kek lapis ini merupakan jati diri wanita Sarawak.
"Kepakaran membuatnya diturunkan daripada satu generasi ke generasi dan meliputi seluruh etnik yang terdapat di negeri ini," ujarnya merendah diri.
Sementara itu, para pengunjung boleh datang sendiri ke kedainya yang menyediakan ruang pameran dan jualan yang luas untuk para pengunjung memilih 63 jenis kek lapis pelbagai corak dan rasa.
Dayang Salhah berkata, beliau sentiasa menambah baik kualiti kek di samping mempelbagaikan lagi jenis kek lapisnya.
Antara perasa kek lapis yang mendapat sambutan di kedai Dayang Salhah ialah kek lapis masam manis, kek lapis sisik ikan, kek lapis India dan banyak lagi.
Lebih menarik, pengunjung boleh melihat sendiri semua proses penghasilan kek lapis Dayang Salhah ini.
0 Komentar untuk "Dulu penjaja kuih, kini usahawan kek"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top