Info Putra Heights 2016

Pilih kahwin jika takut zina

Cara terbaik kawal nafsu, cegah gejala sosial
Penyelesaian dianjurkan Islam bagi mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja seperti seks bebas perlu diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata seseorang yang terbabit perzinaan disebabkan kegagalan benteng diri mengawal nafsu seks yang memuncak.
Budaya berzina terus menjadi isu panas kerana sering dikaitkan dengan kes pelacuran, kegiatan GRO, rumah urut, kelab malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang ... ”
Walaupun budaya keji ini dibenci semua agama tetapi hanya Islam saja yang mengenakan hukuman paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan mereka yang belum pernah berkahwin.

Hukuman keras yang dikenakan Islam ini tepat kerana perbuatan berzina menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Pergaulan bebas adalah punca utama perzinaan. Ketahuilah bahawa seseorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti mendekati perzinaan.

Begitu juga yang senang melayari gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang mengghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Mereka yang bukan muhrim berdua-duaan di tempat sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah al-Israa’, ayat 32)

Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun hawa nafsu hendaklah disalurkan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang mungkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah: Adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala? Rasulullah bersabda: Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah berpahala.”

Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan ditetapkan Islam adalah wajib. Berdasarkan pandangan ahli fiqh dan hadis, mereka yang berkemampuan zahir dan batin hendaklah mendahulukan perkahwinan daripada ibadah lain kerana dikhuatiri berlaku maksiat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ingatlah, dasar hukum perkahwinan ditetapkan Islam tidak membebankan. Majlis walimah atau kenduri kahwin hendaklah mengelak pembaziran. Pihak berkuasa pula perlu mempermudahkan urusan bagi pasangan yang sudah mencukupi segala syarat demi menutup pintu kemaksiatan.

Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa dirahmati Allah SWT. Ingatlah bahawa Islam mengharamkan perzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan secara yang sah.

Firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Ruum, ayat 21)
0 Komentar untuk "Pilih kahwin jika takut zina"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top