Info Putra Heights 2016

Pelajar Tingkatan Empat Dipukul 18 Rakannya Dipercayai Curi Duit

IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kampung Gajah dekat sini, mengalami lebam-lebam akibat dipukul oleh rakan-rakannya kerana dikatakan mencuri wang RM100 milik seorang pelajar di asrama sekolah itu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian selama kira-kira tiga jam bermula pada 1.30 pagi itu, mangsa Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, dibawa ke sebuah bilik di asrama terbabit sebelum dipukul dengan objek keras menyebabkan dia lebam di belakang badan, betis, peha dan muka.
Mangsa ketika ditemui pemberita di rumahnya di Manjoi hari ini berkata dia dipukul oleh kira-kira 18 orang rakannya apabila tidak mengaku mencuri wang tersebut.
 
 
"Saya ditarik oleh pelajar-pelajar itu ke dalam sebuah bilik di asrama sebelum dipukul berkali-kali…guna selipar dan batang penyapu.
"Selepas dipukul, saya terlantar di lantai dan selepas lima minit saya bangun dan telefon mak saya untuk datang ke asrama," katanya.
Sementara itu, ibunya Azian Ismail, 40, berkata beliau telah membuat laporan polis dan membawa anaknya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
"Saya mintak pihak hospital berikan cuti untuk anak saya berehat," katanya.
Azian meminta pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terlibat.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan akan menyiasat kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Kita sedang mengumpul maklumat daripada pihak pengurusan sekolah dan asrama," katanya.
0 Komentar untuk "Pelajar Tingkatan Empat Dipukul 18 Rakannya Dipercayai Curi Duit"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top