Info Putra Heights 2016

Bapa Terkejut Melihat Anak Muntah-Muntah, Kembar Terminum Peluntur

TUMPAT – "Terkejut saya melihat anak kembar saya muntah-muntah, jalannya terhuyung hayang. Ketika itu saya tercium bau peluntur di mulutnya dan mengesyaki dia terminum cecair tersebut," kata Mohd Rozli Mohd Yusoh, 37, bapa kepada bayi kembar, Mohd Farhan, 16 bulan dipercayai terminum cecair peluntur di bilik air di rumahnya di Kampung Chat, di sini, kelmarin.
Mohd Rozli berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tangisan Mohd Farhan dan jeritan anak sulungnya, Nor Asyikin, 14, pada jam 1 tengah hari.
Menurutnya, dia terus ke bilik air dan mendapati anak bongsunya itu sudah tidak bermaya.
Mohd Farhan (kanan) diriba Mohd Rozli semakin pulih manakala kembarnya, Mohd Farharin tidak terikut sama meminum peluntur ketika berada di dalam bilik air bersama kakak, Nor Asy
"Dalam keadaan panik, saya cepat-cepat membawanya ke Klinik Kesihatan Sungai Pinang sebelum mendapat rawatan lanjut di Hospital Tumpat. Nasib baik dia tidak apa-apa tetapi ditahan di dalam wad di Hospital Tumpat semalaman," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila Nor Asyikin meninggalkan adiknya bersendirian di dalam bilik air selepas dia membuat bancuhan peluntur di dalam gayung.
"Adiknya ditinggalkan bersendirian kerana Nor Asyikin naik ke atas rumah untuk mengambil baju yang akan direndam di dalam peluntur itu. Mungkin Mohd Farhan menyangka itu adalah air minuman," katanya.
Mohd Rozli berkata, dia bersyukur kepada Allah kerana anaknya selamat, hanya Mohd Farhan yang terminum peluntur manakala kembarnya, Mohd Farharin tidak terikut sama meminum peluntur itu.
Menurutnya, isterinya, Aruni Che Lah, 33, yang biasa menjaga anak mereka tiada di rumah kerana sedang menjalani rawatan kanser di kampung halamannya di Thailand.
"Sejak isteri sakit, sayalah yang menjaga anak-anak seramai tujuh orang termasuk kembar yang terminum peluntur ini," katanya.
0 Komentar untuk "Bapa Terkejut Melihat Anak Muntah-Muntah, Kembar Terminum Peluntur"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top