Info Putra Heights 2016

Annuar Musa Puji Pemain Dan Jurulatih Berjaya Kekalkan Kejuaraan Liga Super

KOTA BAHARU – Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa memuji para pemain dan ketua jurulatihnya, Bojan Hodak kerana berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super untuk kali kedua berturut-turut di negeri tersebut pada musim ini.
Skuad The Red Warriors berjaya mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi mereka musim lepas selepas membelasah Perak, 6-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengumpul 57 mata, tujuh mata meninggalkan pencabar terdekat mereka, Lions XII dari Singapura yang mengumpul 50 mata dengan masing-masing masih berbaki dua perlawanan.
Kelantan merupakan pasukan ketiga berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.
Pemain-pemain pasukan Kelantan meraikan kejayaan mereka menjuarai Liga Super 2012 selepas mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Perak malam tadi. – Foto Bernama
Annuar berkata kejayaan mengekalkan Piala Liga Super itu didorong oleh semangat pemain yang mahu melihat piala tersebut kekal di negeri tersebut selain mahu menyekat pasukan tersebut dipintas oleh Lions XII pada baki dua perlawanan lagi.
"Pemain bermain bersungguh-sungguh kerana dorongan ingin memenangi piala di tempat sendiri sebab kalau kita tak menang malam ini…barangkali kita terpaksa bersama Singapura pada dua perlawanan terakhir.
"Kita tak nak ambil risiko dan saya ucapkan tahniah kepada ketua jurulatih dan pemain," katanya kepada pemberita selepas meyaksikan perlawanan tersebut malam tadi.
Annuar juga turut memuji sikap positif yang dipamerkan oleh penyokong Kelantan sepanjang perlawanan tersebut.
"Saya bangga tengok penyokong makin lama makin berdisiplin. Kita sudah jarang dengar kena denda dan ia adalah petanda positif untuk bola sepak Kelantan," katanya. – Bernama
0 Komentar untuk "Annuar Musa Puji Pemain Dan Jurulatih Berjaya Kekalkan Kejuaraan Liga Super"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top