Info Putra Heights 2016

“Disoal Lebih 4 Jam, Bukan Kerana Buku Saya!” – Pekin Ibrahim

Pelakon filem Bunohan, Pekin Ibrahim terkejut apabila buku tulisannya yang berjudul Memoir Bukan Memoir dirampas oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu serbuan di pejabat syarikat penerbitan buku itu pada 12 Jun lalu.
 
Buku tersebut merupakan antara buku yang dirampas kerana dikatakan menyebarkan fahaman yang merosakkan akidah umat Islam oleh pihak JAIS.
Dalam serbuan tersebut, seramai lebih 30 pegawai yang terdiri daripada wakil JAIS, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan serbuan di premis tersebut.
 
Setelah diambil keterangan selama lebih empat jam, pelbagai persepsi dan salah faham yang timbul telah diselesaikan dengan baik.
"Insiden itu berlaku kerana salah faham. JAIS membuat serbuan di syarikat penerbitan itu kerana buku lain dan bukannya buku saya. Oleh kerana buku saya berada di situ, mereka turut merampas tiga naskhah untuk tujuan siasatan."
 
 
Selain buku terbaru Pekin, turut dirampas adalah buku tulisan Zahiril Adzim yang berjudul "Bogel Menuju Tuhan".
"Saya amat terkilan kerana tidak pasal-pasal buku saya pula terbabit sama tetapi semuanya sudah diselesaikan dengan baik sewaktu memberi keterangan kepada pihak JAIS. Saya tahu kandungan buku tersebut tidak salah dan telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), jadi saya telah memberikan kerjasama yang baik sewaktu memberikan keterangan." tambah Pekin menceritakan pengalaman disoal-siasat selama lebih 4 jam.
 
Pekin ditemui selesai majlis pelancaran Buku "Memoir Bukan Memoir" yang berlangsung petang semalam di The Annexe, Central Market.
Menurutnya, buku tersebut lebih berkisar pengalaman hidupnya sebelum bergelar artis hingga sekarang.
"Dalam hidup kita melalui proses pembelajaran setiap hari. Saya mahu berkongsi pengalaman saya untuk dikongsi dengan golongan muda agar tidak cepat berputus asa dalam kehidupan." ujar Pekin yang turut bersama penyanyi Danny X-Factor berkongsi pengalaman zaman remaja mereka.
Rakan senegeri Pekin, Danny X-Factor pernah bekerja di A&W Petaling Jaya sewaktu zaman remaja mereka bersama-sama. Danny merupakan antara rakan yang mengajak Pekin untuk datang ke Kuala Lumpur mencari peluang pekerjaan.
"Saya mahu pembaca faham apa yang insan seni lakukan. Saya juga mahu rakan-rakan pelakon bersama saya menilai perbezaan antara artis dan penggiat seni sebenar." tambah Pekin yang merapati insan-insan seni seperti Khir Rahman dan Sofi Jikan untuk menambah pengalamannya dalam bidang seni.
 
Turut dilancarkan adalah buku pelakon Faizal Hussein yang berjudul Limelight. Diterbitkan oleh Merpati Jingga, buku berharga RM30 itu boleh dibeli secara online di http://tokobuku.fotopages.com

0 Komentar untuk "“Disoal Lebih 4 Jam, Bukan Kerana Buku Saya!” – Pekin Ibrahim"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top