Info Putra Heights 2016

Aktiviti Air Dalam PLKN Akan Diteruskan Selepas Pembinaan Kolam Bersimen

 
 
SUNGKAI, 9 Jun – Aktiviti air di kolam semulajadi dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dihentikan ketika ini akan dilaksanakan semula selepas semua kem latihan di seluruh negara dilengkapi kolam bersimen.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan meminta semua pengusaha kem PLKN untuk membina kolam bersimen bagi menggantikan kolam semulajadi yang digunakan untuk aktiviti air sebelum ini.
"Dalam peraturan yang dikeluarkan oleh kementerian, untuk pengambilan kali ini kita tidak masukkan modul latihan dalam air kerana kita tidak mahu sebarang jangkitan yang disebabkan oleh air berlaku kepada peserta PLKN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda Negeri Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata langkah itu adalah bagi menjaga keselamatan pelatih PLKN berikutan insiden kematian seorang pelatih, R.Vinoth dari kem Terkok, Sungai Siput, Perak, akibat kencing tikus pada 12 Mac lepas.
Sehubungan itu, katanya Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan bersidang dalam tempoh terdekat bagi mengarahkan semua pengusaha kem PLKN terlibat untuk membina kolam simen tersebut.
"Dalam perjanjian (sedia ada) mereka mempunyi kos tertentu dan jika kolam dibina secara tetap, satu perjanjian baru akan diambil kira bagi menentukan kos berkenaan di mana mungkin perjanjian konsesi akan dipanjangkan mengikut pelaburan yang dilakukan oleh pengusaha kem".
Katanya kolam itu akan dibina selepas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengadakan rundingan dengan pengusaha kem terlibat kerana ia melibatkan pelaburan yang agak besar iaitu sekitar RM200,000 hingga RM500,000.
Ketika ini, terdapat lebih 24,000 pelatih bagi kumpulan dua 2012 sedang mengikuti latihan PLKN di 79 buah kem di seluruh negara lebih sebulan lalu.
Kini hanya sebuah sahaja kem PLKN yang mempunyai kolam renang iaitu di Sibu, Sarawak.
0 Komentar untuk "Aktiviti Air Dalam PLKN Akan Diteruskan Selepas Pembinaan Kolam Bersimen"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top