Info Putra Heights 2016

Cara Nak Dapatkan Pinjaman PTPTN ‘Free’?

 

 


Dapatkan ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama jika mahu pengecualian bayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Itu cabaran Pengerusi PTPTN Datuk Mohamad Ismail Said kepada peminjam bukannya mereka terhasut dengan pembangkang yang mahu mengadakan demonstrasi menuntut pinjaman itu dihapuskan.

Katanya, kerajaan tidak ada cadangan berbuat demikian sebaliknya peminjam berpeluang mendapatkan pinjaman percuma atau biasiswa jika mereka berjaya mendapat ijazah kelas pertama pengajian masing-masing.

Menurut ahli parlimen Kuala Krau itu, bayaran balik PTPTN perlu bagi membantu pelajar-pelajar lain kerana RM5 bilion diperlukan setiap tahun dengan RM3.37 bilion diperuntukan kepada peminjam sedia ada dan RM1.68 bilion lagi kepada peminjam baru.

"Cara terbaik untuk mereka tidak membayar balik adalah dapatkan first class. Setakat 29 Februari seramai 11,764 peminjam dikecualikan bayaran balik kerana kejayaan itu. Kita lupuskan bayaran RM339 juta babitkan 2,445 pelajar Bumiputera dan 9,319 bukan Bumiputera," katanya.

Selain itu, peminjam juga boleh mengurangkan beban bayaran balik dengan pertukaran pinjaman kepada pembiayaan Ujrah dengan penurunan kadar caj daripada tiga kepada satu peratus.

"Sebanyak 836,408 peminjam sedia ada layak.Sehingga Februari seramai 561.120 peminjam sudah mengemaskini maklumat pertukaran tersebut. Dengan pertukaran itu, setiap peminjam dapat diskaun antara RM3,000 hingga RM5,000," ujarnya kepada Agendadaily di bangunan Parlimen Rabu.

Tegas beliau, setakat ini kerajaan tidak ada cadangan melupuskan pinjaman tertunggak PTPTN seperti desakan pembangkang.

Katanya, pembangkang hanya memainkan dua faktor untuk menarik simpati dan sokongan rakyat.

"Mereka main isu dan tabur janji. Mereka bangkitkan isu yang dianggap rakyat akan menyokong mereka. Sebab itulah, kalau ikut cara mereka, negara boleh bangkrap jika pembangkang memerintah," tegas beliau.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya PTPTN dihapuskan.

Katanya, PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapuskira oleh kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan sanggup menghapuskira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan UMNO.
Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan akan dirancang oleh kumpulan pelajar dan PAS akan menyokong usaha itu.

Perhimpunan itu dikatakan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia

0 Komentar untuk "Cara Nak Dapatkan Pinjaman PTPTN ‘Free’?"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top